Pendahulu Liga Super, Pahang berkemungkinan besar kehilangan khidmat ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh pada perlawanan menentang Petaling Jaya City FC di Stadium Darul Makmur pada Ahad ini.

Ini kerana Dollah perlu menghadiri kursus lesen pro di Kuala Lumpur dan tugas untuk mengendalikan pasukan akan dipegang oleh dua penolongnya iaitu Ahmad Shahruddin Rosdi dan Shahrulnizam Sahat.

Menurut Dollah, beliau menunggu sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan pelepasan kepada beliau untuk bersama pasukan pada Ahad.

“Sama ada saya akan berada di Kuantan pada hari perlawanan (Ahad ini) tidak dapat disahkan buat masa ini kerana perlu menghadiri kursus lesen pro.

“Tapi, jika diberikan pelepasan oleh pengurusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), saya akan bersama pemain kerana ia perlawanan yang sengit untuk mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super.

“Lebih-lebih lagi, PJ City berada pada prestasi terbaik ketika ini termasuk membenam PKNS FC 1-0 pada 30 Mac lalu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Jika Dollah tidak dapat bersama pasukan pada pertemuan menentang PJ City, perkara ini sedikit-sebanyak boleh menjejaskan peluang Pahang untuk mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga.

Percaturan serta corak permainan yang akan diterapkan sama ada oleh Shahruddin atau Shahrulnizam sudah pasti berbeza dengan apa yang digunakan oleh Dollah. Meskipun Shahruddin pernah membimbing skuad Tok Gajah pada 2016, namun barisan pemain musim ini jauh berbeza berbanding ketika beliau menjadi ketua jurulatih.

Apa yang pasti, Pahang perlu mencatat kemenangan bagi memastikan mereka terus menjadi pendahulu Liga Super apatah lagi jika Johor Darul Ta’zim berjaya mencatat tiga mata apabila mereka turun menentang Felda United.

Meskipun Pahang dan JDT mempunyai kutipan mata yang sama, namun Pahang berada di puncak liga menerusi perbezaan jaringan.