Pasukan Pahang akan turun tanpa tiga pemain utama pada perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman kerana harus menjalani hukuman penggantungan perlawanan.

Tiga pemain yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli dan Herold Goulon serta pemain sayap lincah, Mohamadou Sumareh. Ketiga-tiga pemain telah mengutip tiga kad kuning pada perlawanan sebelum ini dan mereka digantung sebanyak satu perlawanan.

Meskipun kehilangan pemain utama, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak menganggap ketiadaan tiga pemain tersebut bakal menjejaskan peluang juara Piala FA 2018 itu untuk meraih kemenangan di Darul Aman.

Dollah Salleh

“Sesi latihan dijalankan selepas cuti Aidilfitri menunjukkan kesungguhan semua pemain merebut tempat dalam kesebelasan utama, jadi saya percaya mereka boleh memikul tanggungjawab dalam perlawanan itu nanti,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Walaupun turun tanpa Faisal, Herold dan Sumareh, namun Dollah boleh menarik nafas lega apabila tiga pemain yang beraksi bersama pasukan kebangsaan pada perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 iaitu Matthew Davies, Norshahrul Idlan Talaha dan Nor Azam Azih tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pahang wajib mencatat kemenangan jika mereka mahu merapatkan kedudukan dengan pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim. Skuad Tok Gajah kini berada 13 mata dibelakang JDT dan mereka perlu segera bangkit jika mahu mencabar mahkota Liga Super.