Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mahu manfaatkan sepenuhnya sesi taklimat daripada Malaysian Football League (MFL) berhubung Program Kawalan Ekonomi (ECP) selepas menerima reaksi positif daripada pasukan lain yang sudah mendapat perincian awal.

Setakat ini, pasukan Kelantan, Pahang, PJ City dan Negeri Sembilan sudah mendapat taklimat daripada MFL yang diwakili oleh Ketua Unit Perancangan dan Strategi, Reuben Chong dan Rakan Kongsi dalam Perkhidmatan Perlindungan Risiko PricewaterhouseCoopers (PwC) iaitu Ting Choo Wai pada awal bulan ini.

Melihat kepada perkembangan positif yang diterima oleh pasukan , PAFA percaya inisiatif daripada MFL itu cukup bermanfaat untuk mereka mendapat pengetahuan secukupnya mengenai ECP.

PAFA
Tajul Hasnan. Sumber Gambar: MFL

Menurut Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar, mereka sedar bahawa objektif utamanya adalah untuk mengawal perbelanjaan setiap pasukan dengan lebih teratur bagi mengelak sebarang hutang yang membelenggu sesetengah pasukan.

“Memang kami harapkan sesi taklimat sebegini untuk pemahaman semua pihak termasuklah Presiden, Timbalan Presiden dan juga barisan exco PAFA untuk turut sama terlibat dalam taklimat. Ini bermakna, semua pihak akan dapat tahu lebih jelas hala tuju ECP khususnya cara perlaksanaannya yang saya pasti ramai ingin tahu.

“Tapi buat sementara ini, PAFA sendiri tidak berdepan lagi masalah kewangan yang serius dan kita juga tidak ikat pemain sesuka hati tanpa melihat kemampuan pasukan.

“Kami akan nilai dulu pemain-pemain dengan gaji yang sepatutnya kerana tidak ingin masalah kewangan timbul di kemudian hari”, jelasnya.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Mohd Syahrizan Mohd Zain pula menganggap perlaksanaan ECP tepat pada masanya seiring dengan misi Next50 Strategic Blueprint sambil menyifatkan harapan utama adalah sifar hutang.

PAFA
Syahrizan Zain. Sumber Gambar: MFL

Baginya, masalah hutang pemain dan pegawai pasukan bukan lagi benda baharu yang sering terjadi setiap musim dan mungkin inilah masanya untuk melihat penurunan yang ketara bermula musim depan.

“Yang paling penting, saya harap setiap pasukan dapat bersedia lebih awal untuk menerima perlaksanaan ECP ini kerana kita tidak ingin lagi melihat masalah kewangan wujud saban musim.

“Inilah masanya untuk kita memanfaatkan program ECP dengan harapan musim depan akan berjalan lancar bukan sahaja untuk Terengganu, malah semua pasukan lain”, katanya.