Dua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2023 berminat untuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih Petaling Jaya City, P. Maniam.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran dimana dua pasukan yang dimaksudkan ialah Penang dan PDRM.

Musim 2022 merupakan musim yang dianggap mengecewakan bagi Penang dimana mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga terakhir yang mana mereka hanya mampu mengutip 11 mata hasil daripada 2 kemenangan, 5 seri dan 15 kekalahan.

Penang menamatkan kontrak dua ketua jurulatih mereka iaitu Tomas Trucha dan Zainal Abidin Hassan ekoran masalah prestasi dan Manzoor Azwira diberi tugasan untuk menguruskan pasukan bagi menamatkan saingan musim ini.

PDRM pula menamatkan saingan Liga Premier di tangga ke-6 dan mereka layak ke saingan divisyen utama musim hadapan setelah pengelola liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan saingan musim 2023 akan menggunakan format baharu.

Selain P. Maniam, Penang juga semakin hampir untuk mendapatkan khidmat bekas pemain skuad B-23 Tahun negara, Nik Akif Syahiran yang mana beliau beraksi bersama Kelantan Unitee secara pinjaman dari Terengganu musim ini.

Ketika ini, beredar khabar angin di media sosial yang mengatakan PJ City akan menarik diri dari saingan Liga Super musim hadapan dan pemain serta pegawai telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

Meskipun berusaha sebaik mungkin mencari pelabur baharu, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil dan mereka dijangka menarik diri musim hadapan.

Perkara ini menyebabkan ramai pemain dan staf kejurulatihan mahu berhijrah ke pasukan lain musim hadapan.