Ketua jurulatih skuad B-15 tahun negara, P.Maniam masih mencari formula terbaik bagi menghadapi aksi terakhir peringkat Kumpulan B Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-15 bertemu pasukan tuan rumah, Thailand di Stadium IPE Chonburi, hari ini.

Menurut bekas pengendali pasukan Selangor itu, beliau mahu menurunkan pemain simpanan dalam kesebelasan utama namun perancangan tersebut bergantung kepada keputusan perlawanan antara pasukan tangga ketiga, Australia yang akan turun berdepan pasukan di tangga tercorot, Brunei Darussalam. Faktor utama Maniam mahu berbuat demikian ialah bagi memastikan semua pemain utama pasukan berada pada tahap terbaik sebelum melangkah ke pu­singan separuh akhir.­

Aust-Mas-U15-2
Sumber Gambar: AFF

P.Maniam berkata: Pada perancangan awal, saya mahu menggunakan semua pemain simpanan ketika bertemu Thailand dalam aksi terakhir peringkat kumpulan. Keputusan ini perlu dilakukan kerana pemain utama kita perlukan rehat yang cukup selepas mereka berdepan tujuh perlawanan dalam tempoh 18 hari,” katanya menurut laporan Kosmo.

Selepas empat perlawanan, Malaysia terus mendahului kedudukan Kumpulan B apabila berkongsi 10 mata dengan pasukan Thailand. Skuad Harimau Malaya mencatat tiga kemenangan dan satu seri dimana mereka menewaskan Brunei dengan keputusan 8-0, Kemboja dengan keputusan 2-0, Australia dengan keputusan 3-0 dan meraih keputusan seri 1-1 ketika bertemu Laos.

Australia yang ketika ini berada di tangga ketiga pula mengumpul tujuh mata dan mereka berpeluang layak ke peringkat separuh akhir jika menang besar ke atas Brunei sambil mengharapkan Thailand menewaskan Malaysia. Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B akan layak ke separuh akhir pada 7 Ogos depan.

Ketika kejohanan B-15 masih dikenali sebagai AFF B-16 Tahun, Malaysia muncul juara pada edisi 2013 dengan menewaskan pasukan Indonesia di perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti. Skuad bimbingan P.Maniam kali ini mempunyai peluang cerah untuk kembali meraih pencapaian 2013 lalu jika para pemain mengekalkan momentum serta prestasi semasa.