Pengendali skuad B-15 tahun negara, P.Maniam meluahkan rasa bangga beliau dengan kejayaan pasukan negara muncul juara saingan AFF B-15 tahun di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Menurut bekas ketua jurulatih pasukan Selangor itu, bukan sahaja beliau malah barisan kejurulatihan yang lain turut berbangga dengan kejayaan yang diraih oleh pasukan muda negara.

Maniam berkata: Pemain sangat komited dan memberi yang terbaik dalam perlawanan walaupun separuh masa pertama mereka bermain tidak bagus disebabkan angin kuat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Maniam turut berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kerana sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan negara sepanjang beraksi dalam saingan tersebut.

Kata Maniam: “Ia sesuatu yang terbaik buat pasukan. Begitu juga dengan kehadiran ibu bapa kepada pemain.

Pada perlawanan yang berlangsung semalam, Malaysia bangkit daripada ketinggalan satu gol dengan bangkit menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua menerusi percubaan Izrin Ibrahim dan Nabil Qayyum sekaligus memberikan kejuaraan kepada pasukan negara.

Pasukan Indonesia menduduki tempat ketiga setelah menewaskan pasukan Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.