Mesut Ozil yang baharu sahaja mengumumkan persaraannya daripada pentas bola sepak kompetitif mendedahkan layanan berkelas ‘VIP’ daripada Jose Mourinho telah membuatkan beliau memilih untuk menyertai Real Madrid berbanding Barcelona.

Selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan Jerman pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, ‘saham’ Ozil melonjak hingga menarik minat kelab-kelab ternama dunia dan ia tidak terkecuali buat dua seteru La Liga itu.

Dengan minat ditunjukkan, Ozil yang pada ketika itu menyarung jersi Werder Bremen berhasrat untuk meninggalkan kelab tersebut dan telah melawat Real Madrid dan Barcelona untuk menilai pasukan mana akan menjadi destinasi seterusnya.

Jelas sekali layanan berbeza yang diterima olehnya telah menjadi titik tolak kepada keputusannya dalam memilih Real Madrid berbanding kelab Catalan itu.

“Ia merupakan keputusan dalam memilih antara Real Madrid dan Barcelona. Dan pada akhirnya ia bukanlah berkaitan dengan wang [kerana memilih Real Madrid].”

“Saya tidak tahu perkara ini diketahui ramai, tetapi saya telah melawat Madrid dan Barcelona pada satu ketika dan yang membezakannya ialah Jose Mourinho,” ujar Ozil menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Mou telah memberikan saya layanan ‘VIP’ ketika saya melawat Real Madrid. Dia membawa saya melihat stadium dan kesemua trofi yang telah mereka menangi. Itu yang membuatkan saya merinding.”

“Lawatan di Barcelona pula kurang bersemangat dan lebih mengecewakan adalah Pep Guardiola tidak berminat untuk berjumpa saya. Sebelum lawatan tersebut, saya sangat menyukari cara bola sepak Barcelona dan saya benar-benar membayangkan dapat bermain dengan mereka.”

“Tetapi, Real Madrid sangat bekerja keras. Jadi, tanpa keraguan lagi Jose Mourinho merupakan faktor penting dalam saya membuat keputusan.”

“Selepas lawatan saya itu, keputusan saya seratus peratus jelas bahawa saya mahu menjadi Madridista,” tambah Mesut Ozil lagi.

Selepas tiga musim (musim keempat hanya beraksi dua perlawanan sebelum berhijrah ke Arsenal), Ozil telah membuat 159 penampilan dalam semua pertandingan disertai dengan menjaringkan 27 gol serta mencipta 81 bantuan jaringan.

 

 

 

 

 

 

Sumber