Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan usaha mereka bagi memantapkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2023 apabila menandatangani seorang pemain kacukan Sepanyol-Filipina, Óscar Arribas.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana Arribas akan mengisi kuota pemain Asia Tenggara dan pemain ini mampu untuk beraksi di beberapa posisi seperti pemain sayap dan juga pemain tengah menyerang.

Baru berusia 24 tahun, Arribas banyak beraksi dalam saingan divisyen kedua liga bola sepak Sepanyol dimana beliau memulakan karier profesional bersama AD Alcorcón, kelab sama yang pernah disertai Pemain muda negara kelahiran Dungun, Terengganu iaitu Amar Makruf.

Musim lalu, Arribas beraksi bersama Cartagena dimana beliau menyertai kelab tersebut pada 1 Julai 2022 namun hanya beraksi selama enam bulan selepas pemain itu menamatkan kontraknya pada 13 Disember.

Sebelum ini, JDT telah berjaya mendapatkan khidmat tiga pemain import bagi menghadapi saingan musim 2023 dimana mereka kembali membawa masuk bekas penyerang pasukan, Diogo Luis Santo serta dua lagi pemain iaitu Endrick Dos Santos dan Juan Muniz.

Ketua jurulatih pasukan yang baharu, Esteban Solari juga sudah memulakan tugas dimana jurulatih itu menegaskan beliau mahu memastikan JDT kekal mendominasi saingan Liga Malaysia.

Menurutnya, beliau sedia untuk berkongsi segala kepakaran dan juga ilmu untuk memastikan pasukan itu bukan sahaja cemerlang dalam saingan Liga Malaysia tetapi juga saingan AFC Champions League (ACL).

“Kami akan memberikan fokus hari demi hari, langkah demi langkah dan kami mahu meningkatkan lagi tahap fizikal, medikal dan taktikal. Persediaan telah dilakukan lebih awal bagi memastikan kita mempunyai pemain yang kuat untuk menghadapi saingan musim ini.

“JDT adalah satu pasukan yang berjaya dan ini merupakan satu tanggungjawab yang berat. Kami akan memberikan yang terbaik, bekerja keras untuk memastikan pasukam ini melangkah ke tahap seterusnya.

“Walaupun ini misi yang sangat sukar, saya percaya kita mempunyai segalanya untuk mencapai kejayaan,” kata Esteban Solari.