Rapid KL mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil telah dilanjutkan sehingga jam 1 pagi bersempena dengan perlawanan penting Kelayakan Piala Asia 2023 diantara Malaysia menentang Bahrain yang berlangsung pada malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengendali perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) itu berkata, tren terakhir menuju ke Sentul Timur akan berlepas pada jam 12.03 tengah malam manakala tren terakhir menuju ke Putra Heights akan berlepas pada jam 12.44 tengah malam.

Tren tambahan akan disediakan bagi membawa penumpang setelah selesai perlawanan.
Penumpang boleh meneruskan perjalanan ke LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Masjid Jamek; dan ke MRT Laluan Kajang di Stesen Plaza Rakyat.

Lebih 50,000 penyokong dijangka akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Pengangkutan LRT menjadi pilihan utama untuk ke stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Selain itu, para penyokong dinasihatkan membeli token perjalanan balik lebih awal sebelum masuk ke stadium, atau pun menggunakan kad Touch ‘n Go untuk memudahkan urusan.

Sama-sama kita memberikan sokongan padu kepada skuad negara dalam misi untuk memburu tiket automatik layak ke Piala Asia 2023 secara merit. Harimau Malaya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk mencerahkan peluang itu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Kim Pan-gon Sasar Minimum 7 Mata Untuk Layak Ke Piala Asia 2023

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama

Amaran Presiden FAM Kepada Pemain: “Jangan Lena Dibuai Dengan Sanjungan Dan Pujian”