Menjelang perlawanan akhir Piala FA 2022 pada 10 September depan, pihak Rapid Rail mengumumkan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan waktunya sehingga 1 pagi bagi memenuhi kira-kira 80,000 kehadiran penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan, menjelaskan akan ada tren tambahan yang disediakan sejurus tamat perlawanan bagi memberikan keselesaan kepada penyokong-penyokong finalis Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Beliau juga akan menasihatkan agar semua pengguna LRT dapat menggunakan Touch ‘n Go selain membuat urusan menambah nilai terlebih dahulu sebelum tiba di stesen bagi melicinkan pergerakan.

“Operasi di Stesen LRT Bukit Jalil dan akan dilanjutkan 1 pagi dengan tren tambahan disediakan bagi keselesaan penumpang sejurus selepas tamat perlawanan antara Terengganu FC dan JDT. Penumpang boleh meneruskan perjalanan ke LRT Laluan Kelana Jaya dengan mendapatkan tren di stesen pertukaran Masjid Jamek dan Putra Heights. Bagi yang ingin pulang dan meneruskan perjalanan ke Laluan MRT, mereka boleh mendapatkan tren di Stesen Plaza Rakyat.”

“Penyokong JDT kami galakkan anda meletakkan kenderaan anda di Park & Ride di stesen LRT Putra Heights (452 lot parkir) manakala penyokong Terengganu FC kami sarankan parkir kenderaan di Park & Ride di Stesen LRT Gombak (1,260 lot parkir) ini bagi memudahkan pergerakan anda ke Stadium Bukit Jalil.

“Sila gunakan Touch ‘n Go yang sama untuk membayar pakir dan menaiki LRT bagi mendapatkan harga ‘flat rate’ berjumlah RM4 untuk bayaran pakir. Rapid Rail akan menyediakan ruang solat tambahan di Stesen LRT Bukit Jalil bagi memudahkan penyokong bersolat.

“Kakitangan tambahan kami akan sediakan bagi licinkan operasi pada hari tersebut, kami menyeru semua penyokong dapat gunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di pusat bandar khususnya di sekitar Bukit Jalil.

“Saya juga harapkan penyokong-penyokong dapat lakukan urusan tambah nilai lebih awal bagi memudahkan urusan tanpa perlu membuatnya di kaunter yang disediakan di stesen,” katanya.

Selain itu, Amir memberi jaminan yang Rapid Rail mampu memenuhi keperluan semua pengguna walaupun turut berlangsung konsert di Axiata Arena pada hari yang sama.

Pihaknya melihat perbezaan waktu tamat perlawanan akhir dan konsert tersebut mampu mengelakkan kehadiran penumpang secara serentak yang memudahkan pergerakan balik ke destinasi masing-masing.

“Pengangkutan awam untuk stesen-stesen yang disediakan boleh tampung jumlah yang agak besar dan kami tiada masalah bagi kegunaan penumpang yang hadir untuk perlawanan akhir Piala FA dan konsert.

“Tambahan masa berakhir final dan konsert sangat berbeza serta tambahan jumlah tren, saya rasa tiada masalah bagi kami menampung kapisiti penumpang yang hadir pada hari kejadian.

“Pihak kami akan berada di situ untuk bersiap sedia melihat kesesakan di stesen, jika ada sebarang keperluan untuk melanjutkan waktu operasi, kami akan beri laluan kepada tambahan tren.

“Andai berlaku kesesakan, kami sarankan agar tidak berebut kerana situasi itu boleh mengundang suasana kurang selesa dan keadaan tidak baik boleh berlaku seperti kehilangan barang selain kami turut akan meletakkan polis bantuan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang,” katanya.