Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengakui anak buahnya berada di tahap terbaik selepas berjaya menundukkan Penang 4-2 pada perlawanan ketujuh saingan Liga Super Malaysia 2022, malam tadi.

Aksi di Stadium Bandaraya itu menyaksikan Baddrol Bakhtiar mencuri tumpuan dengan dua jaringan disamping turut meledakkan gol cantik manakala Jackson De Souza dan Stuart Wilkin masing-masing menambah satu gol dalam membantu kemenangan kelima kelab tersebut.

Sementara itu, T. Saravanan dan Hilal El-Helwe pula menjaringkan gol buat pasukan tuan rumah yang kini dibimbing pengendali sementara, Manzoor Azwira Abdul Wahid.

“Kalau mengikut perancangan, sudah tentu saya tak menjangkakan sehingga empat gol [dijaringkan Sabah],” ujar Ong Kim Swee bercakap dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

“Tetapi pemain bangkit selepas gol penyamaan daripada Penang. Ini menunjukkan pemain berada dalam tahap yang cukup baik terutama dari segi mentaliti atau pun keyakinan selepas Penang menyamakan kedudukan.”

”Dalam 90 minit permainan, serangan sentiasa bertukar. Ini terpulang kepada apa yang berlaku samada gol atau pun tidak tentu akan merubah situasi. Saya setuju dimana Penang mendapat dua atau tiga peluang yang awal sebelum kita mendapatkan gol.”

Kredit Foto: Sabah Football Club

“Dan pada masa yang sama selepas Penang menjaringkan gol, pasukan Sabah dapat menjaringkan semula gol jadi itu merupakan situasi yang berbeza juga, dimana selepas kita menjaringkan gol pertama kita tidak bermain seperti sebelum kita memperolehi gol dan selepas itu kita bermain semula.”

“Jadi, impak yang berlainan tetapi saya percaya siapa yang dapat menyudahkan peluang-peluang yang dicipta pasti akan mendatangkan kelebihan.”

Dalam pada itu, Ong Kim Swee turut memuji permainan yang ditampilkan oleh Baddrol Bakhtiar serta berpuas hati dengan aspek kecergasan setiap pemainnya.

“Ya kita tahu Baddrol merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan hari ini [malam tadi] dia bermain cukup baik dengan posisi yang berlainan.”

“Kita tahu kita bermain selama 120 minit tempoh hari di Kota Kinabalu dalam Piala FA dan ini sedikit memberikan impak daripada segi keletihan tetapi majoriti pemain menunjukkan tahap kecergasan yang memuaskan,” tambah Datuk Ong Kim Swee lagi.

Dengan kemenangan tersebut, Sabah kini berada di tangga kedua dengan 15 mata hasil lima kemenangan dan dua kekalahan, terikat mata bersama pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim tetapi juara lapan kali Liga Super itu masih kekurangan dua perlawanan.