Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpendapat aspek jadual dan cuaca yang tidak menentu ketika ini adalah wajar untuk menjadi faktor kepada perubahan format TM Piala Malaysia 2022 memandangkan pasukan juga enggan lagi berdepan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

Seperti diketahui pihak Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan bahawa TM Piala Malaysia musim ini akan terus ke pusingan kalah mati yang menggunakan format timbal balik melibatkan 16 pasukan tanpa aksi peringkat kumpulan seperti kebiasaan.

Jadi, bagi pengendali berusia 51 tahun itu melihat langkah tersebut merupakan  keputusan yang adil untuk semua pihak dalam memastikan semua perlawanan TM Piala Malaysia musim ini berjalan dengan lancar.

“Ini satu kelainan untuk TM Piala Malaysia 2022 dan saya boleh faham kesuntukan masa serta cuaca yang tidak menentu ketika ini menjadi faktor.”

“Pihak MFL pastinya telah memikirkan sedalam-dalamnya tentang perkara ini, jadi bagi pihak Sabah FC sudah tentu kami menerima baik format kali ini.”

“Ini kerana pada masa sama kita juga dapat menjimatkan kos pasukan Sabah yang terpaksa terbang ulang-alik setiap kali bermain dan ini akan dapat mengurangkan kos.”

“Bahkan, jumlah perlawanan pada musim ini juga saya rasa amat mencukupi sepertimana yang kita kehendaki di mana pasukan memerlukan sekurang-kurangnya 30 perlawanan, jadi tiada masalah”, tambah Ong Kim Swee lagi.

Sebagai rekod, Sabah tidak pernah menjuarai saingan yang mula dipertandingkan pada tahun 1921 meskipun beraksi di pentas final edisi 1996, 2002 dan 2003.