Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengakui hilang fokus selepas mendahului jelas menjadi masalah yang menghantui anak buahnya sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Perkara tersebut nyata menjadi masalah buat Sabah sehingga menyebabkan mereka tersingkir daripada persaingan Piala FA 2023 selepas tunduk 1-2 di tangan Kuala Lumpur City.

Meskipun mendahului seawal minit keenam menerusi sepakan penalti Gabriel Peres, kealpaan menyebabkan Sabah berputih mata apabila Romel Morales dan T. Saravanan menghadiahkan kemenangan buat pasukan pelawat.

Kejayaan di Stadium Likas itu juga telah membawa Kuala Lumpur City ke separuh akhir untuk bertemu dengan naib juara edisi lalu, Terengganu.

“Kita tidak bermain sepertimana sebelum kita mendapatkan gol. Selepas kita mendapatkan gol pertama kita mulai hilang fokus di mana membenarkan pasukan Kuala Lumpur mendapatkan dua gol,” ujar Ong Kim Swee bercakap dalam sidang media selepas perlawanan petang semalam.

“Dan pada separuh masa kedua kita menunjukkan satu kesungguhan tetapi bagi saya itu sudah terlambat di mana peluang-peluang yang kita cipta gagal kita sempurnakan.”

“Jadi, sikap yang bagi saya yang kita perlu perbaiki di mana tiga perlawanan kebelakangan ini selepas mendahului kita dibolosi dan kali ini kita dibolosi tetapi kita gagal mendapatkan kemenangan.”

“Saya percaya kalau saya mempunyai ruang yang banyak sudah tentu ramai daripada segi pada separuh masa pertama terutamanya selepas kita dibolosi dua gol, banyak bahagian yang perlu saya fikirkan tentang para pemain yang akan diturunkan selepas ini,” tambah beliau lagi.