Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee menasihati para penyokong setia kelab tersebut agar tidak memberikan tekanan terlalu tinggi buat penyerang import kelahiran Portugal, Jose Alberto Djalo Embalo.

Embalo yang menggantikan Neto Pessoa pada pertengahan musim kini menjadi mangsa kecaman hebat para penyokong Sabah selepas beliau masih belum mampu untuk mempamerkan kualiti sebenar.

Berdasarkan statistik, penyerang berusia 29 tahun itu sudah diturunkan dalam enam perlawanan Liga Super atau lebih tepat lagi selama 365 minit dimana beliau masih lagi ketandusan jaringan.

Meskipun menyedari keresahan para penyokong terhadap masalah yang dihadapi kelab kesayangan mereka itu, Kim Swee beranggapan kejayaan sesebuah pasukan tidak hanya bergantung kepada seorang pemain sahaja.

“Ya, sudah tentu prestasi Embalo tidak memuaskan dan pada masa yang sama saya minta kerjasama semua pihak terutamanya para penyokong, saya faham mereka inginkan sesuatu daripada Embalo”

“Tetapi, kita tidak boleh sentiasa meletakkan tekanan yang begitu kuat kepada mana-mana pemain. Kita tahu apabila kita membawa masuk pemain import, sudah tentu kita inginkan yang terbaik,” ujar Kim Swee bercakap kepada wartawan selepas perlawanan bertemu Sarawak United.

Jose Embalo masih kemarau jaringan. Kredit Foto: Sabah Football Club

“Tetapi pada masa yang sama kita harus faham dimana kita tak boleh meletakkan satu tekanan yang cukup tinggi. Saya tidak tahu apa yang Embalo fikirkan sebagai seorang pemain lebih-lebih lagi sebagai individu.”

“Bukan mudah untuk mengawal perasaan ketika bermain dan mendapat tekanan sepertimana yang beliau hadapi. Dan pada masa yang sama saya tidak menyalahkan sesiapa namun kita perlu memikirkan satu cara yang terbaik.”

“Saya masih lagi tidak akan mensia-siakan sesiapa sekalipun dan pasti memberi peluang demi peluang. Hari ini apabila kita berada di kedudukan yang baik bukan bergantung kepada seorang pemain tetapi kepada semua pemain.”

“Bukan sebab seseorang kita kalah atau menang, ini penting kita harus fikirkan kita menuju ke pengakhiran musim, jadi kita harus kekal fokus dan semua penyokong dan pegawai-pegawai tertentu yang harus menyokong pasukan bukan menimbulkan masalah,” tambah Datuk Ong Kim Swee lagi.

Dalam perkembangan lain, jaringan tunggal Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63 sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan ke-11 buat Sabah pada aksi menentang Sarawak United di Stadium Likas, malam tadi.

Kemenangan itu terus meletakkan Sabah di kedudukan kedua, berkelebihan lima mata dihadapan pencabar terdekat Negeri Sembilan dan ketinggalan satu mata dibelakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih kekurangan dua perlawanan.