Semalam skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) telah diuji dalam satu perlawanan persahabatan menentang Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Arena MPSJ, Subang Jaya yang berakhir dengan keputusan 4-0.

Ia adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi temasya Sukan SEA 2019 yang akan bermula pada 25 November ini.

Dalam perlawanan itu, Malaysia mendahului pada babak pertama menerusi Nik Akif Syahiran pada minit keenam dan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-26.

Bintang muda skuad Malaysia B-18, Luqman Hakim membuktikan kemampuannya dengan menambah dua lagi gol minit ke-73 dan ke-80 sekaligus memberikan kemenangan 4-0 kepada pasukan negara.

75603404_2503274053102677_8843847638290792448_o
FOTO: FAM

Selepas perlawanan tersebut, pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee telah mengenalpasti 24 pemain terbaik yang akan meneruskan kem latihan pusat dan mengugurkan 5 pemain daripada senarai awal 29 pemain.

Menurut kenyataan daripada FAM, lima pemain yang digugurkan itu terdiri daripada Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC), Amirul Ashraf Ariffin (Selangor), A Shivan Pillay (PKNS FC), Nik Azli Nik Alias (Kelantan) dan Haziq Subri (Perak).

Beberapa pemain muda yang bersama skuad Harimau Malaya turut akan menyertai kem latihan pusat sehari selepas perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia.

Kim Swee akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2019 pada 22 November ini, sehari sebelum mereka berlepas ke Manila.

Baca artikel menarik mengenai perkembangan skuad bola sepak Sukan SEA melalui pautan dibawah.

Quentin Cheng Perlu Buktikan Kemampuan Untuk Rebut Tempat Dalam Skuad Sukan SEA 2019

Sukan SEA 2019: Wan Kuzain Mungkin Sertai Skuad Malaysia B-22 Pada Minggu Hadapan

Datuk Ong Kim Swee Pilih Irfan Zakaria Ke Sukan SEA 2019