Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee kini berada di Vietnam untuk menonton aksi skuad kendalian pembantunya, Brad Maloney dalam kejohanan AFF B-18.

Berdasarkan pemerhatiannya selepas menyaksikan skuad negara mengejutkan Australia, 3-0 beberapa hari lepas, Kim Swee mengakui tertarik dengan kelibat bekas penyerang terbanyak AFC B-16, Luqman Hakim Shamsudin yang telah menjaringkan 4 gol dalam kejohanan itu setakat ini.

Justeru itu, beliau kemungkinan akan memanggil penyerang muda itu untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-23 sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA di Filipina pada hujung tahun ini. Bagaimanapun, ia bergantung pada prestasi semasa pemain tersebut dalam beberapa perlawanan yang akan datang.

“Luqman anda tahu mempunyai sentuhan penyudah yang cukup baik dan kelajuan. Saya percaya dia boleh bermain pada peringkat lebih tinggi.

“Tapi biar Luqman fokus pada kejohanan ini (B-18 AFF) dahulu dan lepas itu mereka ada kelayakan B-19 AFC yang lebih penting.

“Jadi untuk Luqman disenaraikan terpulang kepada prestasi semasa dalam pasukan B-18 dan bukan sahaja di saingan AFF, malah akan dinilai pada kempen AFC nanti,” katanya kepada Arena Metro.

ba231e1b535eb400ed4f
FOTO: VFF

Luqman yang merupakan pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dijadualkan berangkat ke Jepun bulan depan untuk menjalani ujian pemilihan bersama kelab liga divisyen 1 Jepun, Cerezo Osaka.  Malah, beberapa pemain daripada skuad Malaysia B-18 turut ke negara matahari terbit itu untuk menyertai FC Tokyo.

Mengulas mengenai prestasi skuad negara dalam kejohanan AFF B-18, Ong Kim Swee yakin Malaysia akan mempertahankan trofi dimenangi ketika di bawah bimbingan Bojan Hodak tahun lalu.

“Kalau konsisten seperti yang ditunjukkan dengan pasukan Australia saya tak nampak sebarang halangan.

“Apa yang penting saya selalu tekankan pemain harus kekal fokus dispilin dan tidak mengambil mudah. Saya percaya kita mempunyai peluang cukup baik,” katanya.

Skuad Malaysia B-18 dijadualkan bertemu Australia sekali lagi di perlawanan akhir pada hari Isnin ini (19 Ogos 2019) selepas menewaskan Indonesia, 4-3 di peringkat separuh akhir.

Sumber