Bintang bola sepak UAE, Omar Abdulrahman kini sedang ‘menggangur’ apabila kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal mengesahkan tidak menyambung kontraknya menurut laporan daripada Arabian Business.

Pemain keturunan Yaman ini pernah menjadi rebutan beberapa kelab terkemuka eropah seperti Manchester City, Arsenal dan Barcelona selepas beliau mempamerkan aksi menarik di Sukan Olimpik London. Malah, beliau digelar sebagai ‘Messi Arab’ dan pernah berada dalam senarai 10 pemain muda terbaik pilihan ESPN.

Omar yang kini berusia 28 tahun menyertai Al Hilal daripada Al Ain secara percuma pada bulan Ogos tahun lepas tetapi beliau hanya sempat melakukan 5 penampilan kerana mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika menentang Al Shabab. Kecederaan itu memaksa beliau berehat panjang sehingga terlepas mewakili negaranya dalam saingan Piala Asia pada awal tahun ini.

Menurut kenyataan daripada Al Hilal, walaupun Omar masih mempunyai baki kontrak selama sebulan dengan kelab tersebut, namun tidak dapat memenuhi permintaan kenaikan gaji oleh pemain tersebut.

“Pihak pengurusan ada bercakap dengan pemain itu sebelum kami memulakan kem latihan di eropah, beliau memohon untuk menyambung kontraknya walaupun masih mempunyai baki selama sebulan.

“Oleh kerana kecederaan yang menimpanya, kami hanya akan menyambung kontraknya jika beliau lulus dalam ujian perubatan. Namun, Omar lulus dalam ujian perubatan itu tetapi meminta untuk kenaikan gajinya.

“Kami telah pertimbangkan semula tawaran itu, dan memberi beliau masa selama 24 jam untuk memberikan jawapan, tetapi selepas itu masih tiada jawapan rasmi daripada beliau. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya dan mengucapkan terima kasih diatas segala sumbangannya ketika bersama kelab,” kata kenyataan Al Hilal.

Meskipun tidak mempunyai kelab baharu ketika ini, Omar turut dikaitkan dengan kelab lamanya Al-Ain namun dinafikan oleh pengurus pasukan itu, Ivan Leko yang menyifatkan semua khabar angin yang dilemparkan oleh media tempatan adalah tidak benar.

Omar melakukan penampilan pertama bersama Al Ain pada bulan januari 2009 ketika menentang Al Ahli di Piala Etisalat. Beliau dibawa ke pasukan utama oleh jurulatih Winfried Schafer selepas kagum melihat aksi Omar di kejohanan antarabangsa Al Ain bawah 17 tahun.

Kemanakah destinasi beliau selepas ini? Adakah beliau bakal berhijrah ke Jepun, China atau Asia Tenggara untuk menyertai pasukan dalam Liga Malaysia? Tidak mustahil Omar kembali menjadi rebutan kerana pemain ini masih mempunyai reputasi yang hebat dalam bola sepak Asia.

Sumber