Skuad bola sepak Sepanyol gagal meraih kemenangan yang diharapkan pada aksi sulung temasya Sukan Olimpik 2020 selepas diikat tanpa jaringan oleh Mesir di Sapporo Dome, sebentar tadi.

Selain Pedri, Unai Simon, Pau Torres, Eric Garcia, Dani Olmo dan Mikkel Oryazabal, skuad kendalian Jose Luis De La Fuente itu juga diperkuatkan dengan kehadiran duo Real Madrid, Dani Ceballos dan Marco Asensio.

Keadaan itu menyebabkan Sepanyol dilabel sebagai antara pasukan pilihan untuk memenangi pingat emas tetapi laluan yang diberikan Mesir tidak semudah disangka.

Kecemerlangan penjaga gol, Mohamed El-Shenawy serta disiplin tinggi barisan pemain pertahanan Mesir dalam menghadapi asakan daripada pemain Sepanyol menjadi antara kunci kepada keputusan yang dicatatkan.

Mesir terlebih dahulu menguji lawan dari Eropah itu menerusi Ahmed Rayan selepas beliau menerima lorongan cantik daripada Ramadan Sobhi tetapi percubaannya dalam kawasan penalti tidak begitu mengancam Unai di gawangnya,

Ketika perlawanan memasuki minit ke-26, Asensio menguji El-Shenawy dari luar kawasan penalti menerusi percubaan sepakan percuma jarak jauh. Rembatan tersebut bagaimanapun mudah ditangkap kemas penjaga gol berusia 32 tahun itu.

Berselang seminit kemudian, Ceballos hampir meletakkan Sepanyol di hadapan, namun rembatannya dari luar kawasan penalti sekadar singgah di tiang gol.

El-Shenawy terus menjadi penghalang buat Sepanyol untuk meraih kemenangan apabila beliau cemerlang menafikan tandukan Rafa Mir dan percubaan Carlos Soler pada lewat permainan untuk kedudukan terikat tanpa jaringan kekal hingga tamat perlawanan.

Baca artikel lain mengenai bola sepak dalam Sukan Olimpik:

Senarai Pemain Lebih Umur Acara Bola Sepak Sukan Olimpik 2020

FAM Sasar Layak Ke Sukan Olimpik 2024

Tiada Acara Bola Sepak Sukan Olimpik 2020, IOC Dan Jepun Setuju Untuk Tangguhkan Pada Tahun 2021