Jaringan pada masa kecederaan yang dihasilkan pemain gantian, Marco Asensio berjaya membawa Sepanyol ke perlawanan akhir Sukan Olimpik 2020 selepas menundukkan tuan rumah, Jepun 1-0 di Stadium Saitama sebentar tadi.

Seperti kebiasaan, Sepanyol jelas menguasai permainan dengan corak hantaran pendek dalam usaha skuad kendalian Jose Luis De La Fuente itu untuk mendapatkan jaringan.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu perkara mudah buat mereka selepas Jepun dilihat dapat mengekang tekanan yang diberikan bagi mengelakkan gawang mereka daripada dibolosi.

Peluang pertama Sepanyol menjelma pada lewat aksi babak pertama selepas Rafa Mir mendapat lorongan cantik daripada rakan sepasukannya.

Namun, tolakan yang dilakukan pemain Wolverhampton Wanderers itu dalam kawasan penalti berjaya digagalkan penjaga gol Jepun, Kosei Tani.

Jepun turut mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan, namun rembatan dilakukan Takefusa Kubo hasil gerakan solonya ke dalam kawasan penalti pada minit ke-78 dinafikan oleh Unai Simon.

Berselang 10 minit kemudian, Tani sekali lagi bertindak cemerlang dalam menghalang percubaan jarak dekat diledakkan Rafa Mir.

Ketika penentuan masa tambahan memasuki minit ke-115, Asensio muncul wira skuad La Roja selepas percubaan melencong dilepaskannya tidak mampu dihalang Tani sekaligus menghadiahkan gol kemenangan buat Sepanyol.

Dengan kemenangan bermakna dicatatkan, Sepanyol akan berhadapan juara bertahan, Brazil pada perlawanan akhir yang berlangsung pada 7 Ogos nanti sementara itu, Jepun akan membuat perhitungan dengan Mexico untuk perebutan pingat gangsa.