Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer jelas tidak dapat menyembunyikan rasa teruja selepas melihat anak buahnya berjaya membelasah Southampton 9-0 pada aksi yang berlangsung di Old Trafford, awal pagi tadi.

Kemenangan bermakna hasil sumbangan jaringan daripada Anthony Martial [2 gol], Aaron Wan-Bissaka, Marcus Rashford, Edinson Cavani, Bruno Fernandes, Scott McTominay, Daniel James dan gol sendiri Jan Bednarek itu telah mengulangi pencapaian sama buat The Red Devils pada musim 94/95.

Pada musim tersebut juga di gelanggang keramat mereka, Andy Cole mencuri tumpuan ramai dengan meledakkan lima jaringan ketika membantu United menundukkan Ipwich Town 9-0.

Manakala cukup sukar buat Southampton apabila skuad tersebut pernah tewas dengan jumlah jaringan yang sama ketika bertemu Leicester City pada 25 Oktober 2019.

Melihatkan kepada persembahan yang ditampilkan anak buahnya, Solskjaer jelas gembira dengan keadaan tersebut dan menganggap aksi menentang Southampton ini adalah malam yang perlu untuk diraikan semua.

“Kami menggerakkan bola dengan sangat baik, begitu pantas,” ujar Solskjaer menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Manchester United.

“Kami mempunyai penyerang yang mana mahu menyudahkan satu-satu gerakan dengan jaringan. Bahkan, kami mempunyai bek sisi yang mahu untuk menjaringkan gol.”

“Ini adalah salah satu persembahan yang sekali sekala dapat anda rasai dan anda perlu menikmatinya. Saya pasti semua orang diluar sana menikmatinya dengan memakai jersi Man United.”

“Saya merasakan ini adalah persembahan satu pasukan. Anda tidak boleh untuk memilih salah satu persembahan [yang dikatakan terbaik].”

“Tetapi, reaksi daripada semua orang apabila mereka menjaringkan gol, walaupun ia ofsaid, mereka masih membangkitkan semangat semua orang dan kami menamatkan permainan dengan cukup hebat,” tambah Ole Gunnar Solskjaer lagi.

Dengan kemenangan tersebut, Manchester United ketika ini terikat 44 mata bersama pendahulu liga, Manchester City tetapi musuh tradisi mereka memiliki kelebihan apabila masih kekurangan dua perlawanan.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Neil Etheridge Pemain Paling Mahal Asean, Chanathip Songkrasi Di Tangga Kedua

Sabah Semakin Hampir Lengkapkan Perpindahan Saddil Ramdani Dan Levy Madinda

Saigon FC Diumumkan Sebagai ‘Asia Strategic Partner’ FC Ryukyu, Peluang Besar Majukan Industri