Pemain Selangor, Nurridzuan Abu Hassan berkemungkinan besar akan dikenakan hukuman berat berikutan tindakan beliau yang membuat isyarat lucah terhadap penyokong pasukan lawan pada perlawanan menentang Perak di Stadium Shah Alam Jumaat lalu.

Nuri mengacukan jari tengah terhadap penyokong Perak setelah beliau dibuang padang pada separuh masa kedua akibat daripada layangan kad kuning kedua oleh pengadil perlawanan. Tindakan kontrovesi tersebut lantas mendapat kritikan dari ramai pihak dan mahu Nurridzuan dikenakan hukuman berat.

Nuri
Sumber Gambar: Twitter

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata pihaknya sudah mendapat laporan dan juga bukti berdasarkan gambar dan juga rakaman video insiden itu.

“Saya melihat kepada tindakan pemain terbabit, kemungkinan dia akan menerima hukuman kerana perbuatan terbabit jelas tidak boleh diterima.

“Namun, saya tetap menyerahkan kepada jawatankuasa tatatertib untuk menentukan bentuk hukuman jika dia terbukti benar menunjukkan isyarat lucah,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Bekas pemain Pahang itu dijangka bakal dikenakan hukuman dengan membayar denda dan kemudiannya digantung perlawanan.

Sebelum ini, pemain Pahang, Ahmad Syamim Yahya didenda oleh FAM kerana menunjukkan isyarat lucah ketika perlawanan Melaka United menentang Pahang di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 25 Februari 2017.

Selain itu, pemain Sabah, Maxsius Musa juga pernah digantung empat perlawanan dan denda RM2,000 selepas didapati bersalah menunjukkan isyarat lucah kepada pengadil perlawanan ketika aksi menentang Melaka di Stadium Likas pada 11 Mac 2016.