‘Rasa itu sudah kembali’, itulah kata-kata yang cukup sesuai untuk diungkapkan kepada pemain badminton negara, Nur Izzudin Rumsani dan pGoh Sze Fei berhubung perkembangan terkini mengenai mereka.

Hal ini kerana mereka yang berpisah kira-kira empat bulan lalu kerana dikatakan sudah tidak lagi memiliki persefahaman untuk bergandingan bersama kini menyatakan persetujuan untuk kembali berpasangan.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan hati ke hati melibatkan kedua-dua pemain tersebut dan perkembangan positif itu disahkan secara rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), malam tadi.

“Kami gembira mereka memilih untuk menyelesaikan masalah ini. Mereka merupakan pasangan yang bagus dengan masa depan cerah,’’ ujar Presiden BAM, Tan Sri Dato’ Sri Norza Zakaria.

“Saya percaya mereka boleh menyalakan semula api perjuangan dan berjuang kembali untuk
ke puncak.’’

“Ini adalah berita yang baik untuk Malaysia,’’ tambah Norza lagi.

Pernah berada di ranking kesembilan dunia dan bergelar juara Terbuka Jerman, Izzudin-Sze Fei berpisah pada penghujung Januari lalu dan mendapat gandingan baharu sejurus keputusan mengejutkan itu.

Izzudin kemudiannya digandingkan bersama Muhammad Haikal Nazri manakala Choong Hon Jian pula menjadi pasangan buat Goh Sze Fei.

Dengan kembalinya pasangan yang mesra dengan panggilan ‘Dinfei’ atau #gengtangankuat dalam kalangan pencinta badminton tanah air ini diharapkan mereka dapat menampilkan prestasi lebih baik dalam usaha memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Sumber