Selepas dua dekad mewarnai kancah Liga Malaysia sebagai pemain profesional, bekas pemain pertahanan berpengalaman negara, Norhafiz Zamani Misbah kini menceburi bidang kejurulatihan.

Beberapa hari lepas, Norhafiz diumumkan sebagai Penolong Jurulatih baharu di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bagi membantu melahirkan pemain muda berkualiti daripada program pembangunan akar umbi.

4 lagi jurulatih lain yang turut bersama Norhafiz ialah bekas pemain Kelantan, Amirizdwan Taj, bekas pemain Harimau Muda, Syahid Zaidon serta Mohd Kuizwan danĀ  Khirul Nazrin.

Norhafiz disifatkan sebagai salah satu pemain pertahanan tengah terbaik negara dan beliau mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas antarabangsa menentang beberapa pasukan terkemuka dunia dan juga pernah menyertai skuad Piala Asia 2007.

Karier Norhafiz juga diwarnai dengan beberapa kejuaraan domestik seperti memenangi Piala FA dan Liga Super ketika beraksi bersama Negeri Sembilan dan Pahang. Beliau dipilih sebagai pemain pertahanan terbaik bagi saingan Liga Malaysia musim 2011.

Berbekalkan ilmu jurulatih dan pengalamannya dalam bola sepak, Norhafiz diharapkan dapat membantu melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti demi kemajuan bola sepak negara.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Norhafiz Zamani Misbah di sini:

“Kombinasi Norhafiz Zamani Dengan Aidil Umpama Soh Chin Aun Dan Santokh Singh Dari Segi Cara Permainan” – Farizal Marlias

Norhafiz Zamani Misbah Bersara Dari Dunia Bola Sepak Profesional

Nidzam Jamil Sifatkan Norhafiz Zamani Misbah Sebagai Pertahanan Terbaik