Bekas pemain pertahanan pasukan Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah menggesa agar bekas majikannya itu segera menyelesaikan tunggakan gajinya yang berjumlah RM82,261.67.

Menurut Norhafiz, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) seringkali berjanji apabila beliau meminta tunggakan gaji dan sehingga kini badan induk itu masih gagal untuk mengotakan janji mereka.

Norhafiz Zamani Misbah
Sumber Gambar: SB

Pemain yang beraksi bersama Negeri Sembilan itu pernah membawa perkara ini kepada jawatankuasa status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) pada 24 Mei lalu.

“FAM mengarahkan KAFA membuat pembayaran tunggakan gaji saya yang berjumlah RM82,261.67 dalam tempoh 30 hari. Namun, selepas tempoh itu tamat, KAFA belum membuat pembayaran dan saya sudah beberapa kali berhubung dengan persatuan itu bagi mencari jalan penyelesaian, namun gagal mencapai kata sepakat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Tambah Norhafiz Zamani Misbah, KAFA pernah memasukkan wang sebanyak RM15,000 ke dalam akaunya. Akan tetapi, beliau memulangkan semula wag tersebut kepada KAFA kerana tidak pernah membuat sebarang persetujuan.

Norhafiz Zamani Misbah
Sumber Gambar: SB

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak pernah bersetuju untuk sebarang pengurangan mahupun bayaran secara ansuran,” tambahnya.

Semalam, KAFA telah berjaya menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain import pasukan, Morgaro Gomis yang berjumlah RM550,435.20.

Persatuan tersebut turut menegaskan mereka sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain lain sesuai dengan arahan yang dikeluarkan oleh FAM.

Baca artikel lain mengenai pasukan Kelantan di sini:

KAFA Lunaskan Tunggakan Gaji Morgaro Gomis

Kelantan Gunakan Khidmat Penyerang Tempatan Bertaraf Bintang Musim Hadapan

Nazrin Nawi Teruja Beraksi Bersama Pasukan Kelantan Musim Hadapan