Pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan Finland B-21 Tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelabnya, SJK Akatemia baru-baru ini, Nooa serta empat pemain lain iaitu Otto Kemppainen, Jonathan Muzinga, Oliver Günes dan Kaarlo Rintamäki turut dipanggil oleh ketua jurulatih yang baru sahaja dilantik iaitu Mika Lehkosuo.

Nooa mempunyai talian dengan menerusi ayahnya manakala ibunya berasal dari Finland dan perkara ini membolehkan beliau untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Finland ataupun Malaysia.

Sebelum ini, terdapat laporan akhbar mengenai pemain kacukan yang beraksi di luar negara telah meletakkan syarat ‘tidak masuk akal’ kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, Nooa Laine bersama agensinya, X-One dalam satu kenyataan media menerusi laman instagram menepis dakwaan mereka meminta bayaran untuk menyarung jersi pasukan negara dan menjelaskan sebab sebenar yang berlaku.

“Sejak beberapa hari lalu, terdapat laporan salah daripada media di Malaysia mengatakan Noaa Laine dan ayahnya, En. Faried Bin Baharin menuntut bayaran untuk anaknya beraksi bersama skuad kebangsaan Malaysia.

“Sebenarnya, Noaa Laine telah dipanggil oleh FAM buat kali pertama pada April 2022 untuk skuad bawah 23 tahun Malaysia (B-23). Panggilan kedua pada September 2022 untuk perlawanan bersama skuad Harimau Malaya.

Nooa Laine
Sumber Gambar: FAM

“Agensi X-One menjadi pihak pertama yang menghubungi FAM pada awal tahun ini untuk mereka mengetahui Noaa Laine memiliki pertalian darah Finland-Malaysia.

“Kami menghubungi FAM kerana ia adalah impian Noaa untuk menyarung jersi pasukan Malaysia dan mewakili negara asal ayahnya suatu hari nanti. Tetapi Noaa tidak mempunyai pasport Malaysia kerana selama ini membesar di Finland.

“Kami nak jelaskan Noaa tidak mempunyai kepentingan lain untuk mendapatkan pasport Malaysia, dan ia semata-mata bertujuan untuk membenarkan beliau beraksi bersama pasukan Malaysia.

“Oleh sebab itu, kami bertanya kepada FAM sama ada mereka berminat dengan Noaa, dan mereka menyatakan minat tersebut kemudian kami meminta sokongan untuk Noaa mendapatkan pasport kerana ia tidak mudah apabila anda datang dari negara lain.

“Namun tiada sokongan sebenar diberikan, janji tidak ditepati dan kurangnya sikap profesional daripada FAM sejak hari pertama,” kata agensi tersebut.

Mereka juga mendedahkan FAM meminta menghubungi pihak kelab untuk melepaskan Noaa di luar kalendar antarabangsa FIFA supaya pemain itu boleh mendapatkan pasport dan meminta ayahnya sekali lagi mengambil cuti untuk menyelesaikan masalah itu.

Kelab bersetuju melepaskan pemain itu dan ayahnya sanggup berkorban untuk ke Malaysia.

“Secara tiba-tiba, mereka (FAM) mengubah fikiran dan tidak mahu panggil Nooa lagi untuk kem latihan skuad kebangsaan. Ini menyebabkan ayah Nooa hilang pendapatan selama seminggu. Semuanya kerana keputusan tidak profesional daripada FAM.

“Wakil FAM hanya mengeluarkan kenyataan mengatakan proses untuk mendapatkan pasport hanya akan selesai pada Oktober. Itu juga tidak benar.

“Ia amat menyedihkan melihat bagaimana segelintir pegawai FAM bertindak tidak profesional mengeluarkan kenyataan yang tidak benar kepada media,” dipetik dari kenyataan daripada Agensi tersebut.