Pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine mendapat pujian ketua jurulatih SJK Akatemia setelah menampilkan prestasi cemerlang bersama pasukan itu.

Ketua jurulatih pasukan, Joaquin Gomez menganggap Nooa sebagai salah satu aset penting pasukan dan beliau serta staf kejurulatihan yang lain gembira pemain itu menandatangani kontrak lanjutan.

“Kami gembira kerana memberikan kontrak lanjutan kepada pemain yang telah menampilkan prestasi terbaik musim lalu. Perkembangan Nooa sebagai pemain adalah bagus menurut saya.

“Meskipun musim lalu program latihan tidak seperti yang diharapkan, namun Nooa berjaya meningkatkan tahap keyakinan selain memperbaiki gaya permainan beliau.

“Sekarang, sedikit demi sedikit, Nooa Laine telah menjadi pemain penting dalam sistem kami. Dia boleh bermain di beberapa posisi dan menunjukkan kesungguhan untuk tampil dan meningkatkan kualiti.

“Beliau merupakan pemaim terbaik kami, baik dalam saingan liga ataupun ketika sesi latihan. Saya harap peningkatan ini akan berterusan,” kata Joaquin Gomez.

Baru-baru ini, Nooa dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan Finland B-21 Tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelabnya, SJK Akatemia, Nooa serta empat pemain lain iaitu Otto Kemppainen, Jonathan Muzinga, Oliver Günes dan Kaarlo Rintamäki turut dipanggil oleh ketua jurulatih yang baru sahaja dilantik iaitu Mika Lehkosuo.

Nooa mempunyai talian dengan menerusi ayahnya manakala ibunya berasal dari Finland dan perkara ini membolehkan beliau untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Finland ataupun Malaysia.

Sebelum ini, terdapat laporan akhbar mengenai pemain kacukan yang beraksi di luar negara telah meletakkan syarat ‘tidak masuk akal’ kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, Nooa Laine bersama agensinya, X-One dalam satu kenyataan media menerusi laman instagram menepis dakwaan mereka meminta bayaran untuk menyarung jersi pasukan negara dan menjelaskan sebab sebenar yang berlaku.