Pemain tengah Terengganu FC, Nik Sharif Haseefy berpendapat bahawa para pemain Terengganu telah beraksi sebaiknya dan mengikut perancangan pasukan pada aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2022, kelmarin.

Bagaimanapun, tanpa berselindung beliau mengakui aksi Selangor tampak lebih menjadi untuk menghasilkan tiga gol.

Meskipun ketinggalan 1-3, pemain yang dipinjamkan dari Selangor itu percaya Terengganu akan bangkit untuk terus memberikan tentangan bagi memburu gol di laman sendiri pada Isnin depan.

“Saya boleh katakan Selangor malam ini (kelmarin) turun dengan lebih bersemangat dan aksi mereka juga lebih menjadi untuk menjaringkan gol.’’

“Bukannya kita tidak beraksi bagus, cuma Selangor lebih menjadi untuk memberi kelebihan kepada mereka.’’

Kredit Foto: Terengganu FC

“Tetapi untuk kami sendiri, Terengganu tidak akan berputus asa dan positif akan bangkit selepas ini sebab kita masih ada 90 minit di laman sendiri”, tambah Nik Sharif lagi.

Satu lagi perlawanan bagi aksi kedua separuh akhir TM Piala Malaysia akan berlangung pada 20 November ini membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC.

Seperti diumumkan semalam, Stadium Nasional Bukit Jalil telah dipilih sebagai venue bagi perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 bagi mencari juara edisi ke-96 itu.

Selain itu, MFL turut mengumumkan harga tiket bagi perlawanan tersebut juga masih kekal seperti perlawanan akhir Piala FA tempoh hari iaitu dengan General Admission berharga RM50 dan RM70, Premium Grandstand RM150 serta VIP Grandstand RM200.