Pertahanan Kuala Lumpur City FC, Nik Shahrul Azim Abdul Halim pasrah apabila masih belum mampu kembali ke padang sebaik sahaja saingan Liga Super 2022 bermula susulan kecederaan lutut yang dialami sejak November tahun lalu.

Nik Shahrul masih memerlukan masa sehingga dua bulan untuk kembali ke padang selepas dihimpit kecederaan ketika aksi kelima peringkat kumpulan TM Piala Malaysia tahun lalu.

Nyata, ia bukan permulaan yang diinginkan oleh pemain berusia 32 tahun ini namun dia tidak boleh terburu-buru kerana enggan perkara yang tidak diingini berulang dan mahu memastikan dirinya betul-betul sembuh untuk kembali mempertaruhkan aksi.

“Sekarang saya masih dalam fasa pemulihan, nak lari pun tidak boleh lagi, dan doktor ada beritahu mungkin dalam dua bulan lagi baru sembuh sepenuhnya.

“Selepas itu, baru boleh mula bina balik tahap kecergasan dan kalau untuk beraksi, berkemungkinan dalam bulan April baru saya boleh bermain.

“Saya boleh katakan ini adalah kecederaan yang paling teruk saya alami dan sebab itu saya tidak mahu ia berpanjangan kerana paling penting saya tidak mahu terlepas beraksi dalam Piala AFC.

“Awal-awal musim ini saya redha apabila tidak boleh bermain dan berharap dalam tempoh sekarang, proses pemulihan akan terus berjalan lancar”, jelasnya.

Memasuki musim ketiga bekas pemain Kelantan ini beraksi bersama Kuala Lumpur, Nik Shahrul mengakui pasukan itu banyak membantu dirinya untuk membina kembali momentum selepas menghadapi musim mencabar ketika bersama Negeri Sembilan dan PKNS FC sebelum ini.

“Alhamdulillah masih diberi peluang untuk bersama Kuala Lumpur buat musim ketiga, dan saya gembira untuk terus berada dalam pasukan ini kerana banyak yang saya belajar di sini.

“Awal-awal dahulu sewaktu saya mula-mula datang ke sini daripada PKNS FC, agak kekok juga nak biasakan diri dan persaingan juga sengit, tetapi sekarang dah kian serasi.

“Harapnya tahun ini akan menjadi musim yang lebih baik untuk kami semua sepertimana yang kami dah lakukan pada musim 2021 sehingga berjaya menang trofi Piala Malaysia’’, tambah Nik Shahrul Azim lagi.

Nik Shahrul telah melakukan 16 penampilan dalam kesebelasan utama termasuk dalam saingan TM Piala Malaysia di mana Kuala Lumpur menamatkan musim 2021 di tangga keenam Liga Super.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

TMJ “Whatsapp” Presiden Melaka United, Minta Selesaikan Tunggakan Gaji

Billy Ketkeophomphone Bakal Isi Kuota Pemain Import ASEAN Sri Pahang?

Liga Belum Pun Bermula, Melaka United Kini Berdepan Masalah Tunggakan Gaji