Pemain tengah pasukan Kelantan, Nik Akif Syahiran menafikan laporan yang tersebar sebelum ini dimana beliau dikatakan mahu berhijrah dan sedia untuk menebus kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang berjumlah RM1 Juta.

Menurut Nik Akif, kenyataan beliau dalam laporan tersebut telah disalah erti dimana pemain berusia 19 tahun ini menjelaskan mana-mana pasukan yang mahu menawarkan kontrak terhadap beliau, perlulah berjumpa dengan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Nik Akif Syahiran
Sumber Gambar: Harian Metro

“Saya hanya menjawab soalan yang ditanya dan wartawan itu tanya mengenai jika ada pasukan yang tawarkan kontrak, saya jawab mereka kena berhubung dengan pihak pengurusan KAFA dan bukannya saya.

“Tetapi dalam laporan itu menyatakan seolah-olah saya ingin tebus kontrak dan berhijrah ke pasukan lain demi menyelamatkan karier.

“Saya tidak mahu masuk campur soal urusan dan memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang berlaku,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Nik Akif, beliau dan rakan sepasukan memahami masalah kewangan yang dihadapi oleh KAFA ketika ini dan memberikan mereka sedikit masa untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.