Penolong jurulatih Melaka United, Nidzam Adzha Yusoff menegaskan tiada sebarang gerakan boikot yang dilancarkan oleh pemainnya setelah menyaksikan Melaka tewas kepada Felda United dalam saingan kumpulan D Piala Malaysia musim ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat pada Sabtu lalu, Melaka berpeluang untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir dengan lebih awal. Namun, segalanya dilihat serba tidak menjadi untuk Melaka dimana mereka gagal untuk menampilkan permainan terbaik seperti perlawanan di Jengka pada minggu lalu sekaligus tewas dengan keputusan 3-1.

Nidzam Adzha
Nidzam Adzha. Sumber Gambar: Stadium Astro

Nidzam berkata: Saya tak nampak ada gangguan daripada luar atau masalah yang mengganggu pasukan. Yang pasti, kami perlu bekerja keraslah untuk meningkatkan kembali prestasi kami.

“Sebab kami boleh beraksi baik di tempat lawan dan malangnya, (prestasi) malam ini agak menurun,” kata Nidzam Adzha menurut laporan Stadium Astro.

Dakwaan boikot ini timbul selepas Melaka United menghadapi isu tunggakan gaji pemain dimana terdapat laporan bahawa kali terakhir pemain menerima gaji ialah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu. Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dikhabarkan mahu menyelesaikan tunggakan gaji pemain secepat mungkin namun tiada perkembangan mengenai perkara tersebut sehingga ke saat ini.

Ketua pasukan Felda, Hadin Azman menjadi wira pasukan apabila menjaringkan dua gol manakala satu lagi gol Felda disumbangkan oleh bakal pemain Johor Darul Ta’zim, Daniel Amier Norhisham. Jaringan tunggal Melaka United pula disumbangkan oleh pemain import, Luka Milunovic.

Melaka kini menduduki tangga teratas kumpulan D dengan kutipan 6 mata, sama dengan pasukan Selangor namun skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan mempunyai kelebihan dari segi jaringan. Selepas ini Melaka akan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi menghadapi Selangor manakala Felda United akan menerima kunjungan PDRM di Jengka.

Artikel lain berkaitan Melaka United

Penaja Punca Pemain Melaka United Tidak Dibayar Gaji

Zainal Abidin Mahu Pemain Melaka United Kembali Fokus