Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Masih segar dengan kemenangan 2-1 di tempat lawan berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City), Sri Pahang FC tidak mahu menoleh ke belakang lagi dengan cuba meneruskan kecemerlangan apabila bertemu Sarawak United FC, pada Rabu di Stadium Darul Makmur.

Pertahanan Sri Pahang, Nicholas Swirad, yang bertindak selaku ketua pasukan semasa menentang KL City mengharapkan moral rakan sepasukan berada di tahap tertinggi selepas permulaan yang perlahan di awal musim.

Namun, beliau tidak mahu memandang rendah kemampuan lawan, Sarawak United, yang dibimbing jurulatih berpengalaman, B.Satianathan.

“Kemenangan dengan KL City tempoh hari membuktikan Sri Pahang boleh berikan saingan serta pemain-pemain sudah mula mengeluarkan karakter tersendiri termasuk pemain muda.

“Saya ada saksikan beberapa perlawanan yang membabitkan Sarawak, mereka beraksi dengan baik selain tahu kemampuan Satianathan yang saya anggap sebagai salah seorang jurulatih terbaik di Malaysia.”

“Kami pernah bekerja bersama-sama di Selangor dan tahu kemampuannya dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap.”

Kredit Foto: Sri Pahang FC

“Aksi dengan Sarawak pasti sengit dan ini ibarat ujian mental buat kami dalam terus konsisten dalam mengekalkan persembahan yang cemerlang, ” katanya.

Swirad dilihat terus menjadi pilihan Christophe Gamel di posisi pertahanan tengah apabila turun dalam lima dari enam perlawanan Liga Super.

Permulaan positif bersama Sri Pahang pada awal musim tidak membuatkan pertahanan kelahiran Manchester itu sudah berpuas hati atau terlalu bangga sebaliknya menganggap semua pemain ada kualiti tersendiri.

“Saya gembira dengan peranan ketua pasukan diberikan jurulatih namun pemain lain seperti Nor Azam Azih, David Rowley dan Malik Ariff juga memainkan peranan yang serupa.”

“Dalam masa sama, persaingan merebut tempat di bahagian tempat di posisi pertahanan tengah bersama Johan Martial dan Muslim Ahmad juga sebagai sesuatu yang baik kepada Sri Pahang.”

“Kami sentiasa berikan sokongan antara satu sama lain semasa sesi latihan dan hari perlawanan kerana apa lebih penting adalah keutamaan pasukan, ” katanya.

Sri Pahang kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan memungut 7 mata dan kemenangan ke atas Sarawak United boleh membawa mereka ke tangga kelima,mengatasi Selangor FC yang tidak turun beraksi pada minggu ini.

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group