Pemain bintang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai semakin hampir untuk mencapai impian dengan beraksi di Eropah apabila beliau dilaporkan selangkah lagi untuk menyertai kelab Austria iaitu LASK.

Perkara ini dilaporkan oleh media tempatan dimana Quang Hai dan LASK telah mencapai persetujuan dan kesepakatan dan hanya menunggu kontrak rasmi untuk ditandatangani oleh bekas pemain Hanoi FC itu.

LASK menamatkan saingan pusingan pertama Austrian Bundesliga di tangga ke-8 sekaligus memaksa mereka untuk beraksi dalam pusingan untuk mengelak daripada tersingkir ke divisyen kedua pada saingan musim hadapan.

Nguyen Quang Hai
Nguyen Quang Hai

Pada pusingan penyingkiran, LASK ketika ini menduduki tangga kedua dimana mereka ketinggalan satu mata dibelakang pendahulu iaitu FC Admira Wacker Mödling. Quang Hai akan memantau prestasi semasa LASK sebelum beliau membuat keputusan untuk menandatangani kontrak kerana beliau turut mempunyai pilihan lain.

Sekiranya semua berjalan lancar, pemain berusia 24 tahun itu akan terbang ke Austria bagi menjalani ujian perubatan dan melawat fasiliti kelab sekaligus menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama pasukan itu.

LASK ditubuhkan pada 1908 di bandar Linz, Austria dimana kali terakhir mereka memenangi saingan divisyen utama ialah pada tahun 1965. Musim lalu, mereka menamatkan saingan liga di tangga ketiga dibelakang Red Bull Salzburg dan Rapid Wien.

Pada musim 2019/2020, LASK mara sehingga ke peringkat pusingan 16 pasukan terakhir saingan UEFA Europa League (UEL) dimana mereka tewas kepada Manchester United dengan agregat 7-1.

Nguyen Quang Hai telah beraksi dengan Hanoi FC dalam 126 perlawanan dan menjaringkan 35 gol, 3 kali mengangkat piala kejuaraan V.League (2016, 2018 dan 2019), 2 kejuaraan National Cup (2019, 2020) dan 3 kali juara Vietnam Super Cup (2019, 2020 dan 2021).

Sebelum ini, rakan sepasukan Quang Hai iaitu Doan Van Hau beraksi di Eropah bersama kelab Belanda, SC Heerenveen namun hanya beraksi beberapa perlawanan dalam tempoh pinjaman selama semusim dan kemudiannya kembali ke Vietnam.

Ketika ini, hanya penjaga gol iaitu Dang Van Lam yang beraksi di liga luar negara dimana beliau menyarung jersi Cerezo Osaka dalam saingan Liga Jepun.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Buriram United Sedia Terima Tawaran Kelab J. League Untuk Dua Pemain Bintang Mereka

ACL 2022: Tewas Kepada Kelab Asean, Media Korea Anggap K League Dipermalukan

Minyak Masak ALIF Diumumkan Sebagai Penaja Baharu Liga Malaysia 2022