Skuad kebangsaan Vietnam kali ini terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat bintang tengah mereka, Nguyen Quang Hai dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada hujung tahun ini.

Pemain tersebut terlepas peluang untuk mewakili negaranya kerana tidak mendapatkan pelepasan daripada kelab Ligue 2 Perancis, Pau FC. Alasan yang dikemukakan ialah kejohanan berprestij Asia Tenggara itu berlangsung di luar kalendar FIFA iaitu 21 Disember hingga 16 Januari.

Perkembangan ini disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Le Hoai Anh yang telah berunding dengan kelab tersebut pada hari Sabtu lepas.

“VFF telah cuba tetapi kelab mempunyai kuasa untuk tidak melepaskan Quang Hai,” kata Anh dalam satu kenyataan rasmi.

Ia juga bermakna Quang Hai turut terlepas peluang berlatih di bawah kendalian Park Hang Seo buat kali terakhir kerana jurulatih dari Korea Selatan itu membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontraknya yang tamat selepas Piala AFF 2022.

Dua minggu lalu, pemain yang berusia 25 tahun itu cipta sejarah baharu apabila menjadi pemain pertama Vietnam yang menjaringkan gol dalam Liga Perancis.

Beliau diturunkan pada minit ke 78 bagi menggantikan penyerang utama, Pape Ibnou Ba ketika pasukan itu ketinggalan 1-2 menentang Rodez AF hasil jaringan Andy Pembele (min 50) dan Nasim Ouammou (min 67).

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Quang Hai yang muncul sebagai hero apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 86 sekaligus menyelamatkan Pau FC daripada mengalami kekalahan di tempat sendiri.

Ini merupakan satu permulaan yang baik dimana khidmatnya terus ditagih oleh pengendali Pau FC, Didier Tholot dan sempat diturunkan dalam perlawanan menentang Salinieres Aigues Mortes kelmarin.

Jaringan tersebut turut menjadi bualan dalam kalangan media Perancis dan memberi gelaran ‘Messi Vietnam’ kepada Quang Hai.

Pau FC ketika ini menghuni di tangga ke 11 daripada 20 pasukan dengan 17 mata selepas mengharungi 13 perlawanan Ligue 2.

Quang Hai menyertai Pau FC dengan kontrak selama kontrak dua tahun dengan pilihan untuk melanjutkan untuk tempoh setahun lagi sekaligus berpeluang beraksi di eropah dalam tempoh yang lama.