Pemain skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai menjaringkan gol pertama bersama kelab barunya, Pau FC dalam satu perlawanan persahabatan.

Dalam satu aksi persahabatan menentang Landes, Quang Hai diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau berjaya menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-23.

Quang Hai menerima bola di sebelah kanan dan beliau menewaskan dua pemain pertahanan dan melepaskan rembatan menggunakan kaki kiri untuk menjaringkan gol pertamanya.

Ini merupakan satu permulaan yang baik bagi pemain berusia 24 tahun itu dimana beliau terus mendapat kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama dan berjaya menjaringkan gol.

Sebelum ini, ketua jurulatih pasukan, Didier Tholot tidak mahu Nguyen Quang Hai berasa tertekan dan pemain itu perlu lebih bersabar dalam usaha untuk mendapat minit permainan bersama kelab divisyen dua Liga Perancis itu.

“Tidak realistik untuk mengharapkan Quang Hai mempamerkan prestasi hebat dan mencapai kecemerlangan pada tahun pertamanya di Pau.

“Dia baru sahaja menyertai kelab ini dan perlu belajar banyak perkara baharu. Quang Hai juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan dia berada di sini.

Nguyen Quang Hai
Sumber Gambar: Pau FC

“Saya fikir dia harus bersabar dan tidak terlalu risau tentang berapa banyak perlawanan yang akan dia hadapi,” katanya.

Pada masa yang sama, Tholot akan mengkaji gaya permainan Quang Hai dengan melihat video ketika beliau beraksi bersama skuad kebangsaan Vietnam dan juga kelab lamanya iaitu Hanoi.

“Saya akan mengkaji dengan lebih mendalam tentang bagaimana Quang Hai beraksi di Vietnam dan bagaimana prestasi beliau ketika sesi latihan bagi mencari kaedah yang sesuai dengannya.

“Dia seorang yang tangkas, bekerja keras dan laju apabila memegang bola. Dia merupakan seorang pemain yang mampu mengubah permainan dan memberikan perbezaan bagi pasukan. Pemain seperti ini yang saya mahukan di Pau,” tambahnya.

Quang Hai menandatangani kontrak selama dua musim bersama Pau dan beliau turut mencipta sejarah sebagai pemain Vietnam pertama yang beraksi dalam saingan Liga Perancis.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Eropah di sini:

Ten Hag Teruja Umum Maguire Kekal Kapten: “Dia Kapten Yang Mantap”

Gabriel Jesus Yakin Mampu Menang Segala Trofi Bersama Arsenal

Pemain EPL Tidak Divaksin Tak Laku Di Jendela Perpindahan Eropah