Pemain bintang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai dilaporkan bakal menyertai salah sebuah kelab yang beraksi dalam saingan divisyen dua bola sepak Perancis iaitu Ligue 2 dalam perjalanan terbaru kariernya.

Menurut laporan beberapa media, kelab yang dimaksudkan ialah Nîmes Olympique yang mana pasukan itu menghuni tangga ke-9 dalam carta liga pada saingan musim 2021/2022.

Sebelum ini, Quang Hai dikhabarkan semakin hampir untuk menandatangani kontrak bersama kelab Austria iaitu LASK dimana kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dan kesepakatan dan hanya menunggu kontrak rasmi untuk ditandatangani oleh bekas pemain Hanoi FC itu.

Akan tetapi, tiada perkembangan lanjut daripada LASK mengenai kontrak yang bakal ditandatangani sekaligus menyebabkan pemain yang membantu Vietnam memenangi saingan Piala AFF Suzuki edisi 2018 itu gagal beraksi dalam saingan liga Austria.

Nîmes Olympique menduduki tangga ke-9 dalam carta Ligue 2 dimana mereka mengutip 49 mata selepas menghadapi 38 perlawanan liga, meraih 14 kemenangan, 7 seri dan tewas sebanyak 17 kali musim lalu.

Antara pemain ternama yang pernah beraksi bersama Nîmes ialah Eric Cantona yang mana legenda Perancis ini pernah menjadi ketua pasukan Manchester United pada musim 1922 hingga 1997 selain beraksi bersama Leeds United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Jordan Mintah Sertai Kuala Lumpur City

Korea Selatan Hantar Permohonan Rasmi Bida Hak Tuan Rumah Piala Asia 2023

AFC Cup 2022: Pemain Kebangsaan Jordan Perkuat Jentera Tengah Kedah