Kelmarin, peminat bola sepak sepak Vietnam dikejutkan dengan insiden mengerikan apabila bintang tengah pasukan kebangsaan, Do Hung Dung mengalami kecederaan serius sehingga patah kaki selepas terkena terjahan keras daripada pemain Ho Chi Minh City,  Ngo Hoang Thinh dalam saingan V. League.

Situasi itu mengejutkan ramai pihak termasuk ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo yang turut berada di stadium untuk menyaksikan perlawanan itu. Hoang Thinh juga sempat memohon maaf kepada Hung Dung dalam ambulans selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) semalam mengumumkan hukuman berat dikenakan terhadap pemain yang berusia 28 tahun itu selepas didapati bersalah melakukan kekasaran terhadap tonggak utama skuad kelayakan Piala Dunia 2022.

Ngo Hoang Thinh telah digantung daripada sukan bola sepak selama 1 musim dan beliau juga didenda sebanyak VND 40 juta (RM7200) serta perlu membayar kos rawatan Do Hung Dung (tidak lebih daripada 15 bulan gaji).

“Ngo Hoang Thinh telah digantung sehingga tamat musim 2021 dan tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan anjuran VFF atau kejohanan antarabangsa. Cara beliau bermain terlalu bahaya dan boleh mendatangkan kecederaan serius,” kata Ketua Jawatankuasa Disiplin VFF, Vu Xuan Thanh.

moca
Terjahan keras yang mematahkan kaki Do Hung Dung

Doktor mengesahkan Hung Dung perlu berehat panjang sekurang-kurangnya setahun. Ia juga merupakan berita buruk kepada skuad kebangsaan Vietnam kerana pemain tersebut tidak dapat beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Jun ini.

Do Hung Dung merupakan anggota penting skuad Vietnam yang membantu negaranya menjuarai Piala AFF 2018 selepas menewaskan Harimau Malaya, 1-0. Beliau juga turut beraksi dalam saingan Piala Asia 2019 dan membantu Vietnam memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina.

Perkembangan itu pasti meresahkan Park Hang-seo selepas beliau turut kehilangan beberapa pemain lain yang mengalami kecederan serius. Antaranya ialah pemain bintang berpengaruh Nguyen Quang Hai yang dilaporkan mengalami kecederaan ligamen lutut baru-baru ini.

Malah, seorang lagi tonggak pertahanan, Doan Van Hau hampir pasti terlepas aksi kelayakan Piala Dunia 2022 juga akibat kecederaan serius.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Qatar Dan Australia Tarik Diri Dari Saingan Copa America

Pemilik Jiangsu FC Sanggup Jual Kelab Dengan Harga Satu Sen

https://www.vocketfc.com/datuk-rajagobal-diperkenalkan-secara-rasmi-sebagai-ketua-jurulatih-brune