Pemain yang dikenali dengan gelaran ‘Neymar Filipina’, Levi Gilmar Di Silva Fernandez-Lynch sah menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Thai League 3, Bangkok FC bagi menghadapi baki saingan musim 2019. Perpindahan Gilmar ini disahkan oleh Bangkok menerusi satu pengumumab di media sosial rasmi pasukan.

Gilmar merupakan pemain berdarah kacukan Filipina-England dan dilahirkan di London. Beliau pernah beraksi bersama skuad bawah B-23 The Azkals dan mempunyai pengalaman beraksi di beberapa negara seperti England, Romania, Scotland, Moldova dan Malta selain beraksi bersama beberapa kelab di Liga Filipina.

Beraksi di bahagian serangan, pemain berusia 25 tahun ini dikhabarkan turut mendapat tawaran daripada kelab yang beraksi dalam saingan Thai League 2 sebelum ini. Namun, beliau lebih memilih Bangkok FC kerana visi dan misi yang dimiliki oleh ketua jurulatih pasukan, Sean Sainsbury.

“Saya memilih Bangkok FC meskipun mendapat tawaran daripada kelab Thai League 2 kerana pelan Sean untuk kelab ini dan juga saya sebagai pemain membuatkan saya datang ke sini,” kata Gilmar menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab tersebut.

Kelab terakhir Gilmar Fernandez ialah Global Cebu FC yang ketika ini beraksi dalam saingan Philippines Football League. Gilmar kembali ke pangkuan Global Cebu setelah menjalani tempoh pinjaman selama 6 bulan bersama pasukan simpanan Morecambe FC.

Musim ini, saingan Liga Thailand mendapat diwarnai oleh 15 pemain dari Filipina dimana 13 daripadanya merupakan pemain skuad kebangsaan negara itu. Tahap kompetitif serta kualiti yang dimiliki oleh Liga Thailand jelas lebih menarik minat pemain terbaik Asia Tenggara untuk beraksi di liga tersebut.