Peminat Brazil kini risau dengan kecederaan buku lali pemain utama mereka, Neymar.

Brazil menang dengan profesional dalam aksi menentang Serbia untuk perlawanan pembukaan melibatkan Selecao.

Neymar menjadi antara watak penting dalam kemenangan tersebut.

2 gol Richarlison memberikan 3 mata buat anak didik Tite yang merupakan calon pilihan juara untuk edisi kali ini.

Pengurus Brazil, Tite telah meredakan sedikit kebimbangan mengenai kecederaan buku lali yang dialami Neymar.

Neymar yang kelihatan kecewa dan disugul serta dilihat ais diikat pada buku lalinya ketika dia berada di bangku simpanan.

Neymar berdepan dengan banyak kekasaran dari pertahanan Serbia menyebabkan kakinya bengkak, mencetuskan kebimbangan tentang ketersediaan bintang Paris Saint-Germain itu untuk baki perlawanan selepas ini.

Tite jamin Neymar akan terus beraksi

Namun Tite tetap yakin bahawa pemain itu akan tetap beraksi dalam perlawanan akan datang.

Tite berkata: “Anda boleh yakin bahawa Neymar akan bermain semula dalam Piala Dunia, saya pasti. Dia akan bermain di Piala Dunia.”

ESPN melaporkan bahawa Neymar akan menjalani pemeriksaan pada hari ini untuk memastikan tahap kecederaannya. Dan portal itu menjangkakan pemain itu berisiko untuk menjadi penonton selepas ini.

Tite menjelaskan bahawa Neymar memang beraksi dalam kesakitan. Dan pemain itu memutuskan untuk terus cuba bertahan.

“Mengenai Neymar, saya mahu membuat pemerhatian teknikal dan taktikal. Dia merasakan kesakitan pada buku lalinya untuk kedua-dua gol tetapi kekal bertahan kerana pasukan memerlukannya,” tambah beliau.

“Gol itu, yang mana dia memainkan peranan penting, mengatasi kesakitan yang dialaminya.”

Doktor pasukan Rodrigo Lasmar turut penjelasan lebih lanjut tentang status  kecederaan Neymar.

Lasmar berkata: “Neymar terseliuh di buku lali kanannya, kecederaan trauma langsung berlaku apabila lutut lawannya mengasarinya menyebabkan dia terseliuh,” jelasnya.

“Dia mengalami sedikit bengkak di buku lalinya, kami memulakan rawatan dengan ais di bangku simpanan dan dia telah kini mengikuti rawatan fisioterapi.”

“Tiada pemeriksaan pengimejan berkala dibuat setakat ini. Jika ada keperluan, kami akan. ”

“Tetapi itu akan ditentukan oleh keputusan penilaiannya esok.”

Lasmar memberitahu, buat masa ini, tahap kecederaan Neymar masih pada tahap pramatang. Jadi mereka memerlukan masa lagi. Berdasarkan pemerhatiannya, kecederaan itu tidak serius.