Pengerusi Buriram United, Newin Chidchob optimis bahawa bintang muda, Suphanat Mueanta mempunyai peluang yang cukup cerah untuk bergelar pemain pertama dari Thailand beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Suphanat bersama empat lagi pemain Buriram United iaitu Supachai Jaided, Narubadin Weerawatnodom, Rattanakorn Maikami dan Chitiphat Tangklang telah dihantar ke Leicester City untuk menjalani latihan selama sebulan di sana.

Tempoh sebulan itu difahamkan sudah berakhir dan Suphanat menjadi satu-satunya pemain yang dilanjutkan tempoh latihan untuk terus kekal bersama kelab EPL itu.

Perkembangan terkini itu disahkan oleh Chidchob menerusi kenyataannya dalam satu sesi temubual oleh sumber media di Thailand, Main Stand – International.

“Ini sebenarnya kali kedua Suphanat berlatih di Leicester City. Barisan kejurulatihan kebiasaannya akan menghantar kembali laporan prestasi kepada kami, kebanyakannya menunjukkan tanda-tanda peningkatan tetapi Suphanat yang paling menonjol.”

“Suphanat Mueanta berusia 20 tahun dan dia berlatih dengan skuad bawah 23 tahun (B-23). Dia pada ketika ini lebih baik berbanding mereka yang berada dalam kumpulan umurnya.”

“Saya telah bercakap dengan Tob (merujuk kepada Pengerusi Leicester City, Aiyawatt Srivaddhanaprabha) dan memberitahunya bahawa saya merasakan Suphanat Muenta membawa harapan dan impian seluruh negara dan berkemungkinan besar akan menjadi pemain bola sepak Thailand pertama bermain dalam Liga Perdana Inggeris.”

“Saya telah menasihati Suphanat supaya untuk kekal dengan lebih lama kerana dia berada dibawah kendalian jurulatih skuad B-23 dimana mereka boleh menilai siapa yang cukup bagus untuk melonjak ke skuad utama.”

“Saya tidak memikirkan tentang harga jualan atau berapa banyak yang akan kami perolehi daripada menjual Suphanat. Apa yang saya pentingkan ialah apa yang boleh saya lakukan untuk membantunya [ke Liga Perdana Inggeris],” tambah Newin Chidchob lagi.