Terdapat perkembangan baharu mengenai posisi ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas Benjamin Mora rasmi meninggalkan juara bertahan Liga Super itu.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman media sosial Twitter miliknya, sebuah kelab Argentina iaitu Newell’s Old Boys dikaitkan dengan kekosongan jawatan pengendali skuad Harimau Selatan itu.

Akan tetapi, tiada nama yang disebut sama ada ketua jurulatih ketika ini ataupun bekas pengendali kelab itu yang bakal menggantikan Benjamin Mora.

Ada beberapa nama besar di dunia bola sepak yang pernah beraksi bersama Newell’s dalam karier profesional mereka ataupun pernah mengendalikan kelab tersebut.

Antaranya ialah bekas pengurus Leeds United dan Lazio iaitu Marcelo Bielsa dimana pengendali berusia 67 tahun ini pernah beraksi dan menjadi ketua jurulatih Newell’s pada tahun 1980 hingga 1992.

Selain itu, bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino juga pernah menyarung jersi Newell’s Old Boys tetapi beliau tidak pernah mengendalikan kelab tersebut.

JDT mengumumkan mereka telah menamatkan khidmat Mora dan beliau dikatakan telah pulang ke Mexico untuk menyelesaikan urusan peribadi sekaligus menjawap persoalan yang mana beliau tidak terlibat dalam dua perlawanan sebelum ini.

Pengumuman tersebut sekaligus menyangkal dakwaan peminat setia JDT mengenai pemergiannya ke Jepun bagi menyaksikan perlawanan persahabatan diantara PSG menentang Urawa Red Diamond sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua AFC Champions League (ACL).

Pemergian Mora agak mengejutkan peminat bola sepak tempatan kerana beliau telah pergi ketika JDT sedang berada dalam prestasi terbaik dalam saingan Liga Malaysia. Harimau Selatan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super selepas mengharungi 11 perlawanan.

Benjamin Mora juga merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan turut membawa pasukan tersebut ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Beliau telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Gergasi Merah Gagal Bedal Tok Gajah Di Kuantan

RASMI: Benjamin Mora Kini Bukan Lagi Jurulatih JDT

Isu Pengadil Tendang Fazly Mazlan, Subkhiddin Gesa Pihak Bersalah Diadili Sewajarnya