Spekulasi berhubung rancangan pengambilalihan Newcastle United yang diketuai kumpulan pelaburan dari Arab Saudi, Public Investment Fund (PIF) bersama PCP Capital Partners LLP dan RB Sports & Media akhirnya memberikan khabar gembira selepas usaha pemerolehan 100 peratus saham kelab tersebut berjaya direalisasikan.

Perkembangan terbaharu itu disahkan laman sesawang rasmi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut yang mendedahkan segala kelulusan diperlukan telah diperoleh dari Premier League, semalam.

Ia sekali gus menamatkan penantian cukup panjang panjang buat PIF, PCP Capital dan RB Sports & Media yang sudah sekian lama berminat untuk memiliki Newcastle United.

Sehubungan dengan pemilikan tersebut dan PIF merupakan pemegang saham majoriti, Tuan Yang Terutama Yasir Al-Rumayyan yang merupakan Gabenor PIF secara rasmi bertindak selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Newcastle United.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif PCP Capital Partners, Amanda Staveley akan berada dalam senarai Ahli Lembaga Pengarah kelab tersebut dan Jamie Reuben, seorang jutawan yang mewakili RB Sports & Media juga akan memegang jawatan pengarah.

Mengulas mengenai pengambilalihan daripada Mike Ashley yang bernilai £300 juta sekali gus menjadikan The Magpies sebagai kelab terkaya di dunia itu, Yasir Al-Rumayyan meluahkan kegembiraannya berhubung kejayaan tersebut.

“Saya sangat berbangga dapat menjadi pemilik baharu kepada Newcastle United, salah sebuah pasukan terkenal dalam bola sepak Inggeris.”

“Kami mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Newcastle United atas sokongan mereka yang setia selama bertahun-tahun dan kami gembira untuk bekerja bersama mereka.”

Pada ketika Mike Ashley meninggalkan Newcastle dengan struktur kewangan yang baik serta suntikan dana bakal diberikan pemilik baharu, amat menarik untuk disaksikan perkembangan kelab tersebut dalam tempoh beberapa bulan ini dan sudah pasti akan menarik minat pemain-pemain ternama bagi memperkuatkan pasukan.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Capello: Real Madrid Lebih Perlukan Bek Tengah Berbanding Mbappe

Lupakan Kekalahan Bertemu Melaka, Aidil Mahu Kedah Lebih Bersedia