Newcastle kini dalam perebutan mendapatkan bek sisi England, Kieran Trippier. Dan pemain tersebut dikatakan antara calon berpotensi menjadi penandatanganan pertama Newcastle pada era baharu di bawah pemilikan Konsortium Arab Saudi, PIF.

Namun Newcastle dikatakan agak bengang kerana Atletico meletakkan harga yang berbeza pada mereka berbanding dengan kelab lain untuk Kieran Trippier.

Buat masa ini, tiada bidaan rasmi dibuat oleh Newcastle ke atas Trippier kerana masih kurang berpuas hati dengan tanda harga tersebut.

Newcastle dilaporkan sedar akan perkara itu dan tahu apa yang mereka harus lakukan untuk memastikan mereka tidak menjadi mangsa ‘ovepriced’.

Status pemilik baharu yang kaya raya dan kedudukan Newcastle yang terdesak mahu mengelak penyingkiran telah membuatkan beberapa pasukan cuba mengambil kesempatan ke atas mereka.

Eddie Howe berminat untuk bergabung semula dengan Trippier selepas mereka pernah bersama sama ketika di Burnley dahulu.

Trippier sudah beraksi 17 kali musim ini dalam semua pertandingan dan baru kembali daripada kecederaan bahunya.

Trippier memenangi trofi major pertamanya musim lalu dengan menjulang La Liga 2020/21 bersama dengan Atletico Madrid.

Namun prestasi semasa Atletico jauh daripada prestasi terbaik mereka. Kalah dalam 4 perlawanan liga terakhir mereka. Membuatkan Atletico kini berada 17 mata di belakang Real Madrid.

Selain daripada Kieran Trippier, Newcastle United juga memburu pemain pemain dari posisi lain termasuk penyerang. Antara nama yang dikaitkan adalah Jesse Lingard yang terus kehilangan tempat dalam Manchester United.

Newcastle pastinya tidak rela bermain di Liga Kejuaraan pada musim mereka menjadi pasukan kaya baharu. Jendela perpindahan Januari adalah peluang terbaik mereka untuk menambah kualiti pasukan mereka dengan melakukan beberapa pembelian.