Pasukan Selangor berjaya mengesahkan kemaraan mereka ke peringkat separuh akhir setelah menewaskan Negeri Sembilan pada aksi peringkat suku akhir dengan keputusan agregat 4-2.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe membawa bekalan dua gol menjelang aksi kedua di Paroi dan mereka terus memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah dan usaha mereka berjaya apabila membuka tirai jaringan menerusi gol yang dihasilkan oleh Herlison Caion pada minit ke-10.

Tersentak dengan jaringan awal pasukan lawan, Negeri Sembilan terus bangkit dimana mereka berusaha untuk mencari gol penyamaan dan jaringan yang ditunggu akhirnya tiba dimana Matheus Alves berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Juara 33 kali itu kembali berada di hadapan menerusi jaringan pemain pertahanan, Yazan Al Arab diaman pemain dari Jordan itu melakukan rembatan dari luar kawasan penalti yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi.

Skuad bimbingan K. Devan kembali menyamakan kedudukan pada masa tambahan dimana ketua pasukan, Zaquan Adha melepaskan rembatan kencang setelah pertahanan Selangor gagal untuk mengeluarkan bola. Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-2.

Pemain Negeri Sembilan terus memberikan tekanan terhadap pasukan Selangor pada separuh masa kedua namun juara edisi 2015 itu kental bertahan sekaligus mempertahankan kedudukan 2-2 dan memenangi aksi suku akhir dengan keputusan 4-2 secara agregat.

Pasukan Terengganu menanti Selangor pada peringkat separuh akhir dimana skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya mengatasi juara bertahan, Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 4-1 secara agregat.

Satu lagi aksi separuh akhir mempertemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan turun menentang pasukan Sabah.