Satu jaringan masing-masing di setiap babak membantu Negeri Sembilan untuk mencatatkan kemenangan 2-0 pada aksi ke-21 Liga Super Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Tengku Abdul Rahman Paroi, Seremban sebentar tadi.

Kemenangan berharga itu amat penting buat Negeri Sembilan yang mengintai peluang untuk menamatkan saingan musim ini di kedudukan tiga pasukan teratas bagi mengesahkan tempat ke Piala AFC 2023.

Usaha keras pasukan tuan rumah jelas kelihatan apabila skuad kendalian K. Devan itu mengasak kubu Melaka United sebaik wisel permulaan ditiup pengadil Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah.

Herold Goulon hampir meletakkan Negeri Sembilan dihadapan seawal minit keempat tetapi tandukannya selepas menerima hantaran jauh Ahmad Khuzaimi Piee tersasar di sebelah kanan.

Giliran Yashir Armando Pinto Islame pula memberikan ancaman buat pasukan pelawat, namun rembatan pemain import kelahiran Chile itu dalam kawasan penalti ditangkap kemas penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar pada minit kelapan.

Asyraaf terus diuji berselang minit kemudian apabila ledakan jarak jauh Gustavo Almeida Dos Santos yang sudah berjaya menewaskannya sekadar singgah di palang gol.

Negeri Sembilan yang kian bernafsu memburu jaringan sekali lagi hampa selepas hantaran lintang Che Rashid Che Halim tidak mampu diselamatkan oleh Asyraaf dan barisan pertahanan Melaka United, bagaimanapun tolakan Yashir Pinto ketika pintu gol sudah pun terbuka luas tersasar pada minit ke-16.

Melaka United yang sedikit bergelut untuk mencipta gerakan turut mendapat peluang terbaik pada minit ke-18 tetapi sepakan percuma cantik daripada Ifedayo Olusegun Omosuyi ditepis keluar Ahmad Syihan Hazmi.

Kredit Foto: Melaka United Football Club

Tandukan Matheus Alves Leandro setelah menerima hantaran jauh daripada Khuzaimi Piee cantik menuju ke arah pintu gol Melaka United, namun bola sekali lagi singgah di palang gol pada minit ke-34.

Kehampaan itu ditebus seminit kemudian apabila ketua pasukan, Nasrullah Haniff Johan berjaya menanduk masuk bola susulan sepakan penjuru yang diambil Mohamad Zamri Pin Ramli bagi memberikan kelebihan buat Negeri Sembilan.

Nasrullah hampir mencetak gol kedua buat Negeri Sembilan pada minit ke-60 tetapi jaringannya dibatalkan kerana beliau lebih awal dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Pemain gantian, Zaquan Adha Abd Radzak terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-77 apabila tolakannya selepas menerima hantaran jauh daripada Khuzaimi Piee hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan.

Sementara itu, Ahmad Syihan yang sesekali diuji turut bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan Syahmi Shamsudin pada minit ke-32.

Gustavo Almeida mematikan api perjuangan skuad kendalian Asri Ninggal itu apabila beliau menyudahkan hantaran dilakukan Izzudin Roslan untuk menghadiahkan kemenangan 2-0 buat Negeri Sembilan.

Kemenangan itu membolehkan Negeri Sembilan yang berada di kedudukan keempat terus memberikan tekanan buat Sabah yang kini menduduki tangga kedua dengan 42 mata selepas menundukkan Sri Pahang 2-1.

Sementara itu, sehingga berita ini ditulis, Terengganu yang sedang mendahului KL City 2-0 di Cheras berada ditangga ketiga, berkelebihan defisit jaringan dengan Negeri Sembilan.