Ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan, K. Devan memberi penjelasan mengenai ketiadaan salah seorang pemain importnya, Herold Goulon pada aksi Liga Super 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini.

Goulon tidak diturunkan pada perlawanan yang menyaksikan Negeri Sembilan menelan kekalahan besar 7-0 dan perkara ini nyata membangkitkan kemarahan peminat.

Dipetik dari laporan wartawan Astro Arena, Karl Nunis, K. Devan menjelaskan Herold Goulon berdepan dengan isu kecergasan sekaligus tidak dapat diturunkan pada aksi menentang JDT.

“Bukan Goulon saja (yang mengalami isu kecergasan) malah Casagrande juga. Kita beraksi dengan dua pemain import. Casagrande tiba di sini tiga hari sebelum perlawanan pertama. Dia juga tidak cergas sepenuhnya.

“Beliau cuba untuk beraksi tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari. Satu keadaan yang sukar untuk dia. Saya rasa bukan Goulon sahaja yang berdepan isu kecergasan,” kata K. Devan.

Sebelum ini, peminat pasukan Negeri Sembilan berasa hairan apabila salah seorang pemain import mereka, Herold Goulon selalu tidak dapat diturunkan ketika menentang JDT.

Menerusi tinjauan di laman media sosial, peminat ingin tahu mengapa perkara ini sering terjadi kerana mereka berpendapat khidmat pemain import seperti Goulon amat diperlukan ketika perlawanan besar seperti menentang JDT.

Negeri Sembilan menjadi satu-satunya pasukan yang menggunakan khidmat tiga pemain import bagi menghadapi musim 2023 dimana mereka mendaftarkan pemain seperti Goulon, Safuwan Baharuddin dan Casagrande.