Juara sembilan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengamuk di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Seremban apabila membelasah Negeri Sembilan 7-0 pada aksi ketiga Liga Super Malaysia 2023 yang berlangsung sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang lawan langsung tidak menjejaskan rentak skuad kendalian Esteban Solari itu untuk mendominasi aksi sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.

Penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada mulanya beraksi dengan cemerlang dalam menafikan tiga percubaan dijelmakan JDT menerusi La Vere Corbin-Ong, Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo ketika situasi bola mati pada 20 minit awal.

Kecemerlangan itu bagaimanapun terhenti berselang seminit kemudian apabila Forestieri yang tidak dikawal pemain pertahanan tuan rumah berjaya menanduk masuk bola setelah menerima hantaran sepakan percuma daripada Leandro Velasquez.

Leandro kemudiannya terpaksa dibawa keluar ekoran kecederaan dialaminya untuk memberikan ruang kepada Juan Muniz untuk beraksi.

Negeri Sembilan yang jelas bergelut untuk mengawal permainan mendapat peluang pada minit ke-35 tetapi rembatan kaki kiri Casagrande Anselmo Arruda da Silva dalam kawasan penalti sekadar melewati palang gol.

JDT yang masih segar dengan dua kemenangan sebelum ini menambah gol kedua menerusi jaringan cantik daripada Diogo Santo untuk melebarkan kedudukan.

Memasuki minit ke-49, Forestieri menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan ini apabila beliau tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti berikutan kekasaran Tommy Mawat terhadap Arif Aiman Mohd Hanapi.

Empat minit kemudian giliran Arif Aiman pula mencetak nama selaku penjaring setelah beliau mudah menolak masuk bola hantaran lintang dilakukan Diogo Santo yang bijak melepasi perangkap ofsaid.

Tidak cukup dengan itu, Corbin-Ong menjadikan kedudukan 5-0 selepas menerima hantaran Forestieri pada minit ke-67 dan kemudiannya Endrick Dos Santos pula menyambar masuk bola untuk terus menambah kedukaan buat skuad kendalian K. Devan itu.

Ketika aksi semakin hampir untuk ditamatkan, Corbin-Ong mengambil kesempatan berikutan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan yang tidak mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya untuk mudah menyempurnakan peluang sekali gus menutup pesta jaringan JDT dengan kemenangan 7-0.

Kemenangan besar itu sekali gus meletakkan JDT pada ketika ini di tangga teratas dengan mengumpul sembilan mata berbekalkan kelebihan jaringan berbanding Sabah yang turut meraih kemenangan ketiga .