Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) menafikan persatuan berkenaan menghadapi masalah menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

PBNS menerusi Penasihatnya, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail mengenai isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia adalah tidak benar sama sekali.

Aminuddin berkata: “Kalau mengikut laporan yang saya terima, PBNS menjelaskan gaji pemainnya setiap bulan dan tiada yang tertunggak. Cuma bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ada tertunggak beberapa bulan, tetapi itu pun kami sedang uruskan. Bayaran KWSP yang tertunggak itu, kami akan jelaskan dalam sedikit hari lagi. Tiada masalah.

PFAM mendedahkan beberapa pasukan bola sepak dalam negara masih mempunyai tunggakan gaji pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Antara pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji ialah Melaka United, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang.

Selain PBNS yang memberikan respon terhadap pendedahan PFAM, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengeluarkan kenyataan dimana mereka menyifatkan pendedahan tersebut tidak adil kepada pasukan yang sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan tunggakan gaji.

Satu lagi pasukan Liga Perdana, PDRM menuntut PFAM untuk memohon maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.