Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail mendedahkan sebanyak 12 pasukan terlibat dalam masalah tunggakan gaji pemain berjumlah RM6.4 juta yang masih belum diselesaikan sehingga kini.

Antara pasukan yang terlibat ialah Negeri Sembilan namun ia pantas dinafikan oleh Penasihat Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Aminuddin Harun yang menjelaskan dakwaan PFAM itu adalah tidak benar sama sekali.

“Kalau mengikut laporan yang saya terima, PBNS menjelaskan gaji pemainnya setiap bulan dan tiada yang tertunggak. Cuma bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ada tertunggak beberapa bulan, tetapi itu pun kami sedang uruskan. Bayaran KWSP yang tertunggak itu, kami akan jelaskan dalam sedikit hari lagi…tiada masalah.

“Setakat ini bayaran gaji bulanan pemain tiada masalah…kami bayar, cuma KWSP ada tertunggak,” jelasnya kepada Bernama

66463700_1266780533497357_3214216171272273920_n
FOTO: NS FA

Mengenai perancangan pasukan itu untuk saingan Liga Malaysia musim depan, Aminuddin berkata walaupun terlalu awal untuk diperkatakan tetapi PBNS akan menetapkan penanda aras bagi setiap pemain.

“Pada tahun ini, kami tidak meletakkan apa-apa matlamat (sasaran) kerana pemain sedia ada kebanyakannya pemain muda yang kurang berpengalaman. Saya yakin pemain muda ini akan matang pada musim depan dan skuad Rusa akan menjadi satu daripada pasukan yang dihormati…insya-Allah,” katanya.

Aminuddin turut mengesahkan ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mat Zan Mat Aris telah direhatkan apabila kelibat beliau tidak kelihatan dalam sesi latihan pasukan itu untuk menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini.

“Mungkin keputusan itu adalah keputusan terbaik yang telah difikirkan oleh pengurusan PBNS setelah mengambil kira beberapa faktor. Saya sebagai penasihat PBNS telah dimaklumkan dan saya akur dengan apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan PBNS demi kebaikan pasukan,” katanya.

Sumber