Kerajaan Negeri Sembilan merancang untuk membina sebuah stadium baharu bagi menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.

Menurut laporan daripada Harian Metro, Pengerusi  Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani mengesahkan cadangan itu sudah sudah pun dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Malah, kerja naik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Paroi yang sepatutnya bermula pada bulan Mac tidak dapat dilakukan kerana akan menganggu perjalanan perlawanan Liga Malaysia.

Justeru itu, mereka memerlukan stadium kedua dan difahamkan sudah mempunyai lokasi yang sesuai di Bandar Sri Sendayan.

“Memang Negeri Sembilan mempunyai keperluan untuk ada stadium baharu, sebagai contoh bila Kerajaan Persekutuan menawarkan bagi penukaran rumput baharu dan penukaran kerusi penyokong di STAR, baru-baru ini, kita menghadapi masalah untuk meneruskan projek (tawaran) itu.

“Ia disebabkan kita tidak mempunyai stadium lain selain STAR dan jika projek itu hendak dilaksanakan, STAR terpaksa ditutup sekali gus menganggu perjalanan perlawanan bola sepak pasukan Negeri Sembilan dalam Liga Malaysia serta aktiviti sukan yang lain.

“Melihat kepada situasi itu, saya sudah mengutarakan pandangan supaya kerajaan negeri membina sebuah stadium baharu dan rancangan ini mendapat maklum balas yang positif daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun,” kata Datuk Mohamad Taufek.

Stadium STAR, Paroi
Sumber Gambar: Negeri Sembilan FC

Menurut Taufek, Stadium baharu itu dijangka mempunyai kapasiti tidak melebihi 30,000 serta akan dilengkapi dengan trek bagi menganjurkan acara olahraga seperti Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kita sudah lama tidak menjadi tuan rumah Sukma, jadi kita perlu menyediakan kemudahan prasarana sukan terbaik bagi membangunkan sukan tempatan terutama bola sepak yang mendapat sambutan tinggi rakyat.

“Pembinaan stadium baharu ini nanti mungkin tidak sebesar STAR yang boleh menampung sehingga 40,000 penonton, tetapi ia perlu lengkap iaitu sekurang-kurangnya ada trek bagi mengadakan acara sukan yang lain.

“Kita akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar sama-sama dapat memainkan peranan dengan kos membinanya ditanggung secara bersama,” katanya.