Negeri Sembilan bakal turun menentang juara Thai League 1, Buriram United dalam satu kejohanan pra musim yang diberi nama Asean Charity Shield 2022.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana venue untuk perlawanan ini masih belum ditetapkan sama ada bakal beraksi di Paroi ataupun laman lawan iaitu Chang Arena.

Kedua-dua pasukan berada dalam situasi berbeza ketika ini dimana Negeri Sembilan sedang beraksi dalam saingan Liga Super manakala Buriram sedang mempersiapkan pasukan menjelang saingan musim 2022/2023.

Ketika ini, skuad kendalian K.Devan itu menduduki tangga ketiga dalam carta Liga Super dibelakang Sabah yang merupakan pendahulu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berada di tempat kedua.

Prestasi yang ditampilkan oleh juara Liga Premier musim 2021 ini dikira amat baik memandangkan mereka adalah pendatang baharu Liga Super dan berjaya menduduki posisi yang lebih baik berbanding pasukan besar lain seperti Selangor, Terengganu dan Kedah Darul Aman.

Bagi Buriram pula, musim 2021/2022 merupakan musim terbaik bagi mereka setelah berjaya merampas semula kejuaraan Thai League 1 daripada BG Pathum United.

Buriram muncul juara dengan perbezaan dua mata di hadapan BG Pathum yang menghuni tangga kedua sekaligus meraih kejuaraan musim ini dan kembali beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim hadapan.

Aksi persahabatan menentang Buriram United ini dianggap peluang baik bagi Negeri Sembilan untuk meraih pengalaman kerana mereka akan menghadapi salah satu kelab terbaik di rantau Asia Tenggara.

Buriram diperkuatkan oleh beberapa pemain utama skuad kebangsaan Thailand seperti Theerathon Bunmathan, Sasalak Haiprakhon dan Supachai Jaided. Baru-baru ini, mereka meminjamkan Supachok Sarachat ke kelab Jepun iaitu Hokkaido Consadole Sapporo.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Perak Perkenal Tiga Pemain Import Hadapi Baki Liga Premier 2022

Brendan Gan: Saya Mahu Fokus Dapatkan Minit Permainan Bersama Selangor

Omar Raiyan Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Skuad B-19 Tahun Negara